Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menarik nafas lega apabila usaha Malaysian Football League (MFL) untuk memastikan semua pasukan mendapat bayaran hak penyiaran bakal terlaksana secara berperingkat pada 15 Julai dan 15 Ogos depan.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon mengucapkan tahniah kepada MFL kerana meleraikan persoalan yang sering dibangkitkan selama ini sekali gus membuktikan badan penganjur itu tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan terbaik membantu pasukan.
Bahkan, pengumuman terbaharu kemasukan rakan kongsi Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020, disokong sepenuhnya FAS kerana bakal beri peluang kepada pasukan atau kelab sendiri menambah kantung pasukan melalui sokongan penyokong.
Walaupun langkah ini dijangka berdepan cabaran hebat pada awalnya namun Johan percaya MFL dan semua pasukan mampu bersama-sama menjayakan penstrukturan hak penyiaran ini dengan cemerlang.
“Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada pihak MFL kerana berjaya selesaikan perkara ini dan tidak pernah putus asa berusaha membantu kami dan pasukan lain.
“Tahniah juga atas penstrukturan baharu ini (hak penyiaran) kerana ia dapat bantu pasukan dan kelab untuk mencari lebih banyak peruntukan andai ia disokong sepenuhnya oleh barisan penyokong.
“Awal-awal saya pasti ia akan mencabar, tetapi dari pihak FAS, kami tiada masalah untuk sokong dan bantu MFL pertingkatkan Liga Malaysia serta harap MFL juga terus berusaha keras dengan pelbagai inisiatif terbaik demi pasukan,” katanya.
Bagi Presiden Bola Sepak Negeri Terengganu, PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, usaha daripada MFL seharusnya dipandang dari sudut positif bagi menjana kewangan menerusi peranan penyokong dengan melanggan aplikasi yang bakal diperkenalkan oleh EVC dalam masa terdekat.
Bahkan, dia percaya usaha ini tidak akan bebankan penyokong jika komitmen kewangan yang tidak tinggi dikenakan bagi menonton aksi pasukan kesayangan masing-masing.
“Sememangnya pembaharuan seperti ini patut dipuji kerana ia melibatkan penyokong kesayangan kita.
“Kita harap barisan penyokong dapat bagi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada langkah ini yang pasti akan beri keuntungan kepada semua pihak
“Dan saya percaya kos bayaran untuk melanggan applikasi itu juga tidak akan mahal dan berpatutan untuk kita sama-sama menikmati inisiatif baharu daripada MFL ini,” jelasnya.
Enervive Consultancy Rakan Kongsi Baharu Dalam Penstrukturan Hak Penyiaran Liga Malaysia https://t.co/ocv29tnRLE
— VOCKET FC (@vocketfc) July 4, 2019
Semalam MFL mengumumkan kemasukan rakan kongsi Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020 sekali gus menyaksikan masalah agihan hak penyiaran musim ini selesai.
Meskipun ketiadaan Telekom Malaysia (TM) yang menarik diri sebagai penaja utama selepas Liga Malaysia bermula tapi MFL terus berusaha untuk membantu kewangan pasukan dengan mendapatkan pendapatan hak penyiaran selain perjalanan liga yang lebih tersusun musim ini.