Penjaga gol pasukan Selangor, Farizal Harun dikenakan hukuman gantung sebanyak 5 perlawanan dan RM5,000.00 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas tindakan beliau yang memukul muka pemain PKNP FC.

Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan untuk menghukum Farizal kerana penjaga gol itu melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM.

GK Selangor
Sumber Gambar: FA Selangor

“Penggantungan lima (5) perlawanan, denda sebanyak RM5,000.00 dikehendaki dijelaskan dalam masa empat belas (14) hari waktu bekerja dari tarikh penerimaan keputusan ini dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Berikut adalah perlawanan yang tidak dapat disertai oleh Farizal Harun.

i) Perlawanan Liga Super 2019 di antara Selangor melawan Kuala Lumpur pada 15 Jun 2019.

ii) Perlawanan Liga Super 2019 di antara JDT melawan Selangor pada 19 Jun 2019.

iii) Perlawanan Liga Super 2019 di antara Selangor melawan Pahang pada 25 Jun 2019.

iv) Perlawanan Liga Super 2019 di antara Felda United FC melawan Selangor (tarikh perlawanan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan/penetapan dari Malaysian Football League).

v) Perlawanan Liga Super 2019 di antara Perak melawan Selangor (tarikh perlawanan adalah tertakluk kepada sebarang perubahan/penetapan dari Malaysian Football League).

Selain Farizal, lima lagi pemain turut dikenakan denda kerana masalah displin antaranya Igor Zonjic, Zarko Korac, Syafiq Sabaruddin, Harith Izzudin dan Syahirul Fazli.