Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) akan menghantar surat rayuan kepada badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sebagai langkah terakhir berhubung isu pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah berkata surat rayuan keempat itu akan diserahkan kepada FAM sebagai langkah terakhir persatuan tersebut untuk memastikan Pulau Pinang beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
“Kita akan hantar lagi surat rayuan kepada FAM esok, tapi saya beranggapan FIFA tidak akan mengubah keputusannya untuk pemotongan markah itu.
“Sebenarnya kami sudah mengetahui perkara ini pada Rabu lalu iaitu sebelum saingan menentang PDRM, tetapi kita tetap meneruskan perlawanan demi maruah pasukan Pulau Pinang,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semalam, FAM mengeluarkan kenyataan dimana mereka memaklumkan Pulau Pinang terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan selepas dikenakan hukuman berupa pemotongan enam mata oleh FIFA.
Pulau Pinang Dipotong Enam Mata Dan Tidak Layak Ke Liga Super 2020 https://t.co/zs1f5Y7cbR
— VOCKET FC (@vocketfc) July 21, 2019
Hukuman tersebut dikenakan terhadap Pulau Pinang susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import mereka, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan itu selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017.
Dr Amar Pritpal mengulas lanjut isu tunggakan gaji Reinaldo Lobo itu berlaku ketika FAP berada di bawah pengurusan terdahulu, dan ia kini sudah pun diselesaikan sejak beliau mengambil alih kerusi presiden.
“Ini semua hutang yang ditinggalkan sebelum saya ambil alih. Selepas saya ambil alih, kita sudah bayar RM11.2 juta untuk selesaikan pelbagai perkara. Isu Reinaldo ini hanyalah berkaitan tarikh pembayaran yang lewat namun semua hutang dengannya sudah selesai,” tambahnya.
Pengguguran Pulau Pinang daripada saingan Liga Super musim hadapan bermakna PDRM akan menggantikan tempat mereka. PDRM menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga ketiga.