Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan penurunan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura.

Isu penjualan tiket tersebut menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan baru-baru ini apabila FAM menetapkan harga yang terlalu mahal dan tidak mampu dibeli oleh seorang penyokong setia.

Peminat menganggap harga tersebut tidak berbaloi bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dan ada yang mahu badan bola sepak negara itu menjual tiket bundle sama seperti ketika saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2024 yang berlangsung pada Jun lalu.

Harga tiket yang ditetapkan oleh FAM ialah RM100 (Grandstand), RM70 (Premium), Terbuka (RM50) dan kanak-kanak (RM10).

Bagaimanapun, FAM telah membuat keputusan untuk menurunkan harga tiket tersebut setelah mendengar keluhan daripada para penyokong.

“Atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah membuat keputusan untuk harga tiket tempat duduk Terbuka diturunkan ke RM45, Premium diturunkan ke RM60 dan Grandstand diturunkan ke RM70. Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak kekal pada harga RM10.

“Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.

“Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan,” kata setiausaha agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.

Noor Azman turut menjelaskan Datuk Haji Hamidin sentiasa prihatin mendengar apa juga keperluan penyokong dan sangat menghargai sokongan tidak berbelah bagi yang telah diberikan oleh anda semua, penyokong setia Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang pasukan.