Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah berhati-hati dalam pengambilan pemain naturalisasi dimana mereka telah menubuhkan panel kajian teknikal bagi menilai beberapa aspek pemain yang berpotensi untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata panel kajian teknikal itu akan dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi itu akan dianggotai Pengarah Teknikal, Peter De Roo dan jurulatih Selangor, B Satiananthan.
Selain itu, badan induk bola sepak negara itu turut memberi bayangan ketua jurulatih pasukan senior negara, Tan Cheng Hoe dan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee bakal menyertai panel tersebut.
Menurut Datuk Hamidin, panel tersebut ditubuhkan bagi mengkaji mekanisme yang sesuai dalam pemilihan pemain naturalisasi serta mengakaji beberapa aspek seperti umur dan juga persembahan pemain tersebut bersama pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia.
“Kita perlu ingat pengambilan pemain naturalisasi ini macam satu kertas kerja yang kita perlu tahu bagaimana proses dan ada syarat yang perlu kita patuhi. Macam mana proses dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“FAM ada kumpulan yang akan mengkajinya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada masa yang sama, Datuk Hamidin turut memberikan jaminan proses tersebut tidak akan menjejaskan pemain muda terutamanya pemain muda yang sedang meningkat naik.
“Saya rasa ia tidak akan ramai. Kita ikut proses. Kalau lima (pemain) adakah akan jejaskan pemain belia? Saya rasa tidak,” tambahnya.
Setelah pengambilan pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh memberi impak yang positif terhadap corak permainan pasukan negara, ramai pihak menggesa FAM untuk mengambil lebih ramai pemain naturalisasi bagi membantu meningkatkan lagi kualiti serta mutu pasukan negara. Sumareh membantu pasukan kebangsaan muncul sebagai naib juara dalam saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Antara nama yang disebutkan berada dalam senarai pendek FAM untuk dijadikan pemain naturalisasi ialah pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck, pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi, penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan penyerang UKM FC, Michael Ijezie Chukwubunna.