Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes berganding bahu bagi meningkatkan keselamatan dan penjualan tiket selain penambahbaikkan perkhidmatan pelanggan korporat serta pengalaman yang selesa bagi penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut baik cadangan tersebut dan berpendapat idea Tony untuk menjadikan SNBJ seperti Stadium Wembley mampu untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kami menyokong sepenuhnya cadangan PSM untuk menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua.
“Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai klien, FAM gembira dapat bekerjasama dengan PSM,” kata Hamidin menurut laporan Utusan.
Tan Sri Tony Fernandes turut meluahkan kegembiraan beliau kerana dapat bekerjasama bersama FAM.
“Kami gembira bertemu dengan Datuk Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini,” katanya.
Tahun lalu, perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam dilanda kontroversi setelah kebanyakan peminat tidak mendapat tiket.
Selain itu, jumlah penyokong yang hadir juga melebihi kapasiti stadium sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penyokong.