Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberi perkhabaran gembira apabila memberitahu pihaknya sedia membantu membawa penyokong bola sepak negara ke Qatar menyaksikan perlawanan melibatkan Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 tahun depan.

Baca Juga:

Kos yang tinggi dari segi penginapan dan penerbangan menjadi penghalang kepada para penyokong yang tidak berkemampuan untuk hadir memberikan sokongan padu.

Wakil Ultras Malaya Mohd Ridzuan Ahmad yang lebih dikenali sebagai Lekir berkata tiga perkara menjadi perhatian penyokong iaitu harga tiket penerbangan, akses membeli tiket perlawanan dan juga penginapan sepanjang di Qatar.

Beliau berkata demikian ketika Townhall bersama Presiden FAM yang dihadiri oleh 150 orang penyokong di Kuala Terengganu semalam.

“Biasanya harga tiket pergi dan balik antara RM4,500 ke RM5,000, jadi macam mana kos ini boleh dikurangkan begitu juga dari segi tiket perlawanan. Kita juga tahu di Qatar ada tempat penginapan milik Malaysia, mungkin boleh dapat kadar yang tidak terlalu tinggi.

“Saya yakin sekiranya ketiga-tiga perkara itu kosnya dapat dikurangkan, lebih ramai penyokong akan pergi,” katanya seperti dipetik dalam Bernama.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Hamidin berkata FAM bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berbincang dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines untuk menyediakan penerbangan sewa khas ke Qatar.

“Perlu ingat ini diusahakan oleh saya dan YB Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) untuk pastikan kami akan mengadakan pertemuan bersama MAS kerana mereka adalah penaja kuat kami, jadi perbincangan itu nanti untuk menyenang dan memudahkan urusan penyokong di sana nanti,” jelas Hamidin.

Beliau juga berkata pihak kedutaan Malaysia di Qatar akan membantu menyediakan tempat tinggal dengan kos yang berpatutan kerana skuad Harimau Malaya berada di sana selama hampir tiga minggu.

“Saya juga telah berhubung dengan Duta Besar Malaysia ke Qatar, beliau sedia untuk bantu dari segi tempat tinggal kerana tempoh skuad kebangsaan beraksi agak lama iaitu lawan Jordan pada 15 Jan, Bahrain (20 Jan) dan Korea Selatan (25 Jan), jadi kita akan bantu mana yang boleh untuk senangkan penyokong.

“Dari segi penerbangan, kalau dapat penerbangan sewa khas lagi baik tetapi kita perlu tahu jumlah yang pergi. Saya fikir ia tidak jadi masalah kerana Malaysia Airlines akan membantu,” katanya ketika ditemui selepas program Townhall Bersama Presiden FAM di sini, malam tadi.