Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima aduan mengenai penolong jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote  dipukul ketika perlawanan separuh akhir Piala FA pada Jun lalu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penolong jurulatih berbangsa asing itu dipukul berikutan dikatakan terdapat salah faham. Namun, insiden terbabit tidak dihebohkan kepada umum.

Difahamkan individu yang memukul penolong jurulatih terbabit adalah bekas pemain sebuah pasukan yang pernah berpangkalan di Pantai Timur dan Selatan tanah air selain enam kali mewakili skuad kebangsaan.

Berikutan kejadian itu, Marcote dilaporkan sudah membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan susulan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada Selangor FC pada 25 Julai lalu membabitkan penolong jurulatih itu.

“Kita terima aduan daripada Selangor pada 25 Julai lalu membabitkan penolong jurulatih iaitu Marcote dipukul oleh individu lain.

“Beri masa jawatankuasa tatatertib untuk melakukan siasatan terperinci sebelum mengumumkan tindakan lanjut kelak,” katanya kepada Arena Metro.

Individu yang memukul penolong jurulatih itu pernah beraksi dalam Liga Indonesia sebelum ke Malaysia menyertai pasukan dari pantai timur.

Beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab di Sepanyol. Kini tidak lagi aktif bermain dalam liga profesional sebaliknya terlibat dalam urusan perpindahan pemain.

Manakala, Marcote pula baharu saja dilantik sebagai pembantu kepada Tan Cheng Hoe dalam saingan Liga Super pada musim ini.