Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan perancangan mereka untuk mempersiapkan skuad Malaysia bawah 16 tahun (B-16) bagi menghadapi saingan Piala Asia B-17 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mei 2023.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Mudah Belasah Indonesia Untuk Ke Pusingan Akhir
- Presiden FAM Yakin Skuad Malaysia B-16 Boleh Pergi Jauh
- Kelayakan Piala Asia B-17: Gol Saat Akhir Farish Danish Bantu Malaysia Tundukkan UAE
- Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Bermula Dengan Cemerlang Tundukkan Palestin
Skuad kendalian Osmera Omaro itu mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila membelasah Indonesia 5-1 ketika aksi terakhir Kelayakan Piala Asia B-17 sekaligus muncul sebagai juara kumpulan pada bulan lepas.
Justeru itu, FAM dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersetuju untuk menghantar pasukan itu menjalani latihan di Qatar selama sebulan.
Bagaimanapun, mereka sedang menunggu kata putus daripada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).
“Jawatankuasa mengucapkan tahniah kepada pasukan bawah 16 tahun, kita merancang mengadakan latihan intensif untuk pasukan ini kerana kita melihat pasukan ini telah mencapai satu keputusan yang membanggakan dan berharap pasukan ini dapat pergi lebih jauh selepas ini.
“Persediaan melengkapkan pasukan ini ke tahap lebih baik, satu latihan sedang dimuktamadkan di Qatar selama lebih kurang hampir satu bulan, tapi perkara ini masih dalam perbincangan kita dengan pasukan Qatar,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.
Sebelum ini, Pengurus pasukan, Christopher Raj berkata, pihaknya merancang untuk berlatih seawal bulan Januari bagi menghadapi saingan itu yang turut menawarkan empat tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru hujung tahun depan.
Katanya, perancangan awal itu bagi memastikan Malaysia tampil lebih mantap dan bukannya sekadar pelengkap jadual.
Selain Malaysia, terdapat tiga negara menjadi wakil Asia Tenggara (ASEAN) di Piala Asia B-17 2023 iaitu Vietnam (juara kumpulan F), Thailand (naib juara terbaik kelima) dan Laos (naib juara terbaik keenam).
12 lagi pasukan yang turut layak terdiri daripada Jepun, Tajikistan, Korea Selatan, Australia, India, Iran, Yemen, Afghanistan, Arab Saudi, China, Uzbekistan dan Qatar.
Namun, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga kini masih belum mengumumkan tuan rumah bagi menggantikan Bahrain yang menarik diri.