Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Hj Rahman dalam satu kenyataan rasmi memberi amaran awal kepada para pemain tempatan supaya tidak mengulangi kesalahan seperti kes Faisal Halim.

“FAM ingin menasihatkan kepada pemain-pemain bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media dan mengambil pengajaran daripada kes ini,” katanya.

Peminat bola sepak tempatan semalam dikejutkan dengan berita mengenai pemain sayap skuad Harimau Malaya dan Selangor, Faisal Halim yang telah digantung selama sebulan.

Jawatankuasa Tatatertib FAM  mendapati Faisal melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.

Hukuman itu sekaligus memberi tamparan hebat kepada Selangor yang ketika ini dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.

Menurut Noor Azman, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.

Namun, beliau dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.

Bagaimanapun, FAM tetap memberi peluang kepada Faisal untuk membuat rayuan rasmi bagi mengurangkan hukuman tersebut.

“Surat rasmi mengenai pemakluman keputusan kes-kes tersebut telah pun dihantar kepada Selangor FC.

“Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM,” tambah Noor Azman.

Satu lagi kes iaitu membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.