Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis khabar angin di media sosial yang mengaitkan bekas pemain kebangsaan Jepun, Keisuke Honda dengan jawatan Ketua Jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23).

Calon pengendali Malaysia B-23 menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas E. Elavarasan melepaskan jawatannya pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menegaskan Keisuke Honda tiada dalam radar badan induk itu.

“Tak ada, mana ada (Keisuke ganti Elavarasan)…(tetapi) ada perbincangan, dalam masa terdekat kita akan umum,” katanya dipetik dalam Bernama.

Khabar angin itu timbul selepas Honda memuat naik ciapan di akaun rasmi X memaklumkan kini berada di Kuala Lumpur sekaligus mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat tempatan.

Beliau berkata sedia mempelajari perkara baharu sambil intai peluang memasuki pasaran bola sepak tempatan.

“Bagaimana kalau saya bermain bola sepak di Malaysia pada masa akan datang? Saya rasa anda akan dapat melihat aksi pemain terbaik dari Jepun,” tulisnya.

Disebabkan ciapan tersebut, peminat mencadangkan agar beliau menjadi ketua jurulatih skuad Malaysia B-23 bagi menggantikan tempat E. Elavarasan.

Honda sebelum ini berkhidmat sebagai pengurus skuad kebangsaan Kemboja selama lima tahun namun telah letak jawatan selepas gagal bantu negara itu meraih sebarang pingat dalam temasya Sukan SEA 2023.

Namun, ianya tidak akan terjadi kerana skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23) bakal mendapat sentuhan jurulatih dari Sepanyol bergabung dengan kepakaran tempatan.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai pengendali baharu Malaysia B-23 ialah Juan Torres Garrido yang bertugas sebagai pembantu Elavarasan sebelum ini.

Malah, FAM juga dilaporkan akan mengambil jurulatih tempatan iaitu Nidzam Jamil sebagai pembantu Juan Garrido dalam skuad Malaysia B-23.

Pengumuman rasmi mengenai barisan jurulatih Malaysia B-23 bakal dibuat dalam masa terdekat. Tugasan besar yang sedang skuad Malaysia B-23 ialah saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar tahun depan.