Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan badan induk bola sepak negara itu mempunyai perancangan untuk menjadikan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) sebagai platform untuk melahirkan pemain yang berkualiti di masa hadapan.

Menurut laporan daripada Utusan Malaysia, Datuk Hamidin mahu memastikan semua fasiliti dan infrastruktur untuk program latihan di AMD berada dalam keadaan terbaik setanding dengan Akademi Aspire di Qatar yang merupakan antara akademi bola sepak canggih dan terkenal di dunia.

“Saya prihatin dengan AMD dan selepas ini fokus saya ingin memperkemas dan pastikan fasiliti di sana berada dalam keadaan ‘tip-top’.

“Sekiranya tidak dapat menandingi Akademi Aspire, sekurang-kurangnya ia akan lebih baik dari sekarang. Itu hasrat yang saya luahkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya.

akademi-m.d
FOTO: Malaysia Dateline

Bulan April lepas, delegasi FAM mengadakan lawatan kerja rasmi ke AMD di Gambang, Pahang untuk meninjau kemudahan di akademi tersebut serta perkembangan program Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Delegasi itu diketuai oleh Presiden FAM sendiri bersama barisan exco FAM. Mereka turut dibawa mendengar taklimat PPBN daripada Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM, Dato’ Sri Subahan Mohd Kamal, selain dimaklumkan perkembangan terkini AMD oleh Pengurus Besar AMD, Yusof Ibrahim.

Selain itu, mereka juga meluangkan masa berjumpa 218 pelatih dan 22 jurulatih yang berpangkalan di AMD. Lawatan ini juga memberi peluang kepada FAM untuk melihat apa bentuk sumbangan dan bantuan yang boleh mereka hulurkan sebagai tanda kesepakatan  dengan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menguruskan projek ini.

“Usaha ini amat mustahak kerana mereka (pelatih) bakal pemain yang akan mewakili negara dalam tempoh lima hingga enam tahun dari sekarang,” jelas Hamidin.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini menjadikan model bola sepak Qatar sebagai contoh berdasarkan kemampuan negara itu muncul juara Piala Asia 2019 menerusi idea memperkenalkan Akademi Aspire yang mengesan dan membangunkan pemain berbakat dari seluruh dunia untuk dijadikan pemain naturalisasi.

Outdoor Football Pitch
Akademi Aspire Qatar. FOTO: The Grandstand View

“Kalau kita lihat Akademi Aspire di Qatar sudah berjaya melahirkan pemain terbaik dan ia menjadi antara faktor utama Qatar menang Piala Asia 2019 kerana kebanyakan pemain adalah produk akademi terbabit.

“Saya sudah cadangkan pada AMD, kita nak ikut apa yang Qatar lakukan. Kita tidak boleh mengambil pemain naturalisasi yang sudah menjangkaui usia 20 hingga 25 tahun tetapi sebaliknya kita kena bermula dari awal.

“Sebagai contoh, Akademi Aspire mengesan bakat muda seawal usia 12 dan 13 tahun dari serata dunia dan tempatkan mereka di sana yang mana akan ada campuran pemain tempatan dan antarabangsa dengan mereka dibentuk menggunakan acuan DNA yang sama.

“Dan bagi pemain yang menonjol sebaik menamatkan latihan di akademi berkenaan, mereka ini akan dijadikan pemain naturalisasi untuk mewakili Qatar dan perkara sama kita hendak buat di Malaysia,” katanya dalam Berita Harian.