Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan mengekalkan hukuman penggantungan pemain Selangor, Faisal Halim selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023.

Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh CP (Bersara) Dato’ Sri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Mohamad Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menjatuhkan hukuman penggantungan selama empat bulan kepada Faisal.

Faisal dikenakan penggantungan selama sebulan terlebih dahulu, dengan baki tiga bulan lagi ditangguhkan sehingga Ogos tahun depan, tertakluk kepada kelakuan pemain itu.

Penggantungan itu selari dengan kesalahan Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkan pemain itu kepada pihak media selepas aksi antara Selangor menentang Sabah FC, 27 April itu.

Beliau dipercayai bercakap mengenai mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas itu.

“Saya tak boleh cakap secara terus, saya hanya pemain biasa. Saya tak ada duit nak bayar denda dan saya tak nak kena gantung. Saya jujur dan ikhlas dengan kerja saya, begitu juga saya nak pihak lain yang terbabit ikhlas menjalankan tanggungjawab.

“Kami ingin perlawanan yang adil, kalau perlawanan adil kami kalah 5-0, 10-0 tak apa kami terima. Tapi dengan cara begini kami kecewa dan tak boleh terima dengan hati yang terbuka.

“Kami tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tetapi ini bola sepak, kami perlu perlawanan yang adil dan jujur,” katanya selepas tamat perlawanan.

Satu lagi kes iaitu membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.