Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah bertemu beberapa orang penting untuk membincangkan potensi peluang kerjasama dua hala dengan Jerman, Belgium, Belanda dan Afrika Selatan dalam usaha memperkasakan lagi bola sepak negara.

Baca Juga:

Beliau kini berada di Vietnam untuk menghadiri Kongres Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dan sempat bertemu dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman, Bernd Neuendorf.

Dalam pertemuan dengan Neuendorf, Datuk Haji Hamidin berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Jerman.

“Misi utama dua negara ini ialah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan berkongsi kepakaran dan sumber, pada masa yang sama menyokong pembangunan bola sepak negara masing-masing.

“Ini adalah peluang yang baik untuk kita bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran dalam pelbagai aspek termasuk pasukan kebangsaan, pembangunan akar umbi dan belia juga prestasi pemain,” kata Datuk Haji Hamidin. dalam satu kenyataan rasmi di Facebook FAM.

Hamidin bertemu Presiden Persekutuan Bolasepak Jerman, Bernd Neuendorf.

Dalam pada itu, Datuk Haji Hamidin yang juga Ahli Majlis FIFA turut bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Afrika Selatan, Dr Danny Jordaan; Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak diRaja Belanda, Gijs de Jong dan Perhubungan Awam dan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak diRaja Belgium, Hedelli Sassi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jerman, Afrika Selatan, Belanda dan Belgium kerana meluangkan masa untuk membincangkan potensi kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala dengan Malaysia.

“Saya yakin kerjasama ini akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sebelum ini, FAM dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara khususnya dari segi bola sepak.

MoU selama setahun ini akan diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun.

Kerjasama ini meliputi enam bidang iaitu:pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, bola sepak wanita, perlawanan persahabatan, kem untuk pasukan kebangsaan belia, struktur dan operasi perlawanan belia serta pembangunan futsal.