Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menghantar salah seorang pengadil dalam negara, Nazmi Nasaruddin untuk mendapatkan lesen Video Assistance Referee (VAR) agar pengadil itu boleh terlibat dalam kejohanan besar seperti Piala Asia dan Piala Dunia.

Perkara ini dilakukan bagi mengukuhkan lagi usaha FAM untuk menggunakan khidmat VAR dalam saingan Liga Malaysia pada masa akan datang.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, beliau menjelaskan Nazmi sudah menjalani latihan VAR di Riyadh, Arab Saudi selama sembilan hari awal bulan ini. Beliau menambah bahawa Nazmi dipilih ke Riyadh untuk menjalani kursus VAR supaya pengadil itu bersedia untuk mengadili di Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

Nazmi Nasaruddin
Sumber Gambar: SB

“Nazmi perlu menjalani kursus VAR supaya dia boleh jadi pengadil di Piala Asia pada Januari nanti,” kata Noor Azman.

Setiap pengadil di Malaysia perlu memiliki lesen pengadilan VAR sebelum mengadili mana-mana perlawanan di Piala Dunia, Sukan Olimpik dan Liga Juara-Juara Asia. Ini kerana saingan tersebut menggunakan khidmat VAR di dalam perlawanan.

FAM turut menyatakan badan induk bola sepak negara itu sudah memulakan kursus VAR yang terdiri daripada 30 orang yang dijalankan sehingga hujung tahun ini.

FAM turut meletakkan sasaran untuk menghantar pengadil yang boleh mengendalikan perlawanan besar seperti dalam temasya Piala Asia dan Piala Dunia.

Nazmi Nasaruddin merupakan antara pengadil terbaik dalam saingan Liga Malaysia setakat ini dan individu berusia 33 tahun ini pernah menerima Anugerah Pengadil Terbaik oleh FAM pada tahun 2022