Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar seramai enam pengadil muda negara untuk berguru di Dammam, Arab Saudi bermula esok, 22 hingga 27 Oktober ini.
Baca Juga:
- FAM Tak Berminat Bida Tuan Rumah Piala Dunia 2034
- Arab Saudi Pastikan Indonesia Gagal Ke Piala Asia Futsal 2024
- Bida Piala Dunia 2034, Arab Saudi ‘Claim’ Dapat Sokongan 70 Ahli FIFA
Mereka terdiri daripada empat pengadil iaitu, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail, Muhammad Munir Mohd Izam serta dua penolong pengadil, Kesava Raj S Neelamagan dan Mohd Shafiq Ahmad Said.
Enam pengadil ini turut akan menjalani kursus tambahan VAR dan latihan praktikal di Arab Saudi.
Inisiatif ini ialah selari dengan misi Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang mahukan lebih ramai pengadil berguru di luar negara.
“Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara,” kata Datuk Haji Hamidin.
Enam pengadil yang bakal ke Arab Saudi ini dipilih berdasarkan faktor prestasi yang baik dalam Liga Malaysia serta menunjukkan komitmen yang baik sepanjang latihan VAR di Malaysia sekaligus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.
Dengan usaha ini diharap lebih ramai mengikut jejak langkah pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang akan ke Piala Asia 2023, di Qatar, Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram turut menyokong usaha ini dengan menyatakan FAM akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.
FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia 2024/2025.
Sebelum ini, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid mencipta sejarah apabila menjadi pengadil Malaysia yang pertama mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 yang mengunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Perlawanan tersebut berlangsung di Buriram, Thailand yang mana melibatkan aksi di antara Buriram United dan Zhejiang FC dari China.