Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa tiket bagi kesemua enam hari perlawanan antarabangsa sepanjang bulan ini iaitu dari 17 hingga 26 Mac 2019 akan menggunakan sistem imbasan Kod QR bagi kemasukan penonton ke dalam stadium.

Ia menerusi kerjasama antara FAM dengan dua syarikat pengendali tiket iaitu Tickethotline International Sdn Bhd dan Proticket Malaysia Sdn Bhd melalui ProEvents.

Sistem Kod QR ini akan mula dilaksanakan pada perlawanan persahabatan antarabangsa B-22, Malaysia bertemu Australia di Stadium Shah Alam pada hari ini, Ahad 17 Mac 2019, jam 8.45 malam. Sebarang kelemahan atau kekurangan sistem akan diuji pada perlawanan ini dan cuba untuk diatasi dan diperbaiki sebaik mungkin.

Sistem ini kemudian akan diteruskan pada kejohanan antarabangsa empat negara, Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil iaitu dua perlawanan pada Rabu, 20 Mac 2019 – Oman lwn Afghanistan (4.30 petang) dan Malaysia lwn Singapura (8.45 malam) serta dua perlawanan pada Sabtu, 23 Mac 2019 – penentuan tempat ketiga/keempat (4.30 petang) dan final (8.45 malam).

Seterusnya, ia turut akan membabitkan tiga hari perlawanan bagi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 di Stadium Shah Alam iaitu pada Jumaat, 22 Mac 2019 – China lwn Laos (4.30 petang) & Malaysia lwn Filipina (8.45 malam), Ahad, 24 Mac 2019 – Filipina lwn China (4.30 petang) & Laos lwn Malaysia (8.45 malam) dan Selasa, 26 Mac 2019 – Laos lwn Filipina (4.30 petang) & Malaysia lwn China (8.45 malam).

Dengan pengenalan sistem Kod QR ini, para penyokong Harimau Malaya yang membuat pembelian tiket secara online tidak perlu lagi untuk ke kaunter penebusan tiket di stadium, sebaliknya hanya perlu menunjukkan Kod QR yang dihantar ke e-mel mereka untuk diimbas petugas di pintu masuk stadium.

Selain memudahkan urusan dan menjimatkan masa, sistem Kod QR ini juga dapat mengatasi isu tiket palsu atau kemasukan tidak sah ke dalam stadium kerana setiap tiket yang dijual, termasuk tiket fizikal yang dijual di kaunter tiket biasa di stadium turut dilengkapi dengan Kod QR.

Ini bermaksud, semua kemasukan bertiket ke stadium pada enam hari perlawanan antarabangsa yang dinyatakan di atas adalah menggunakan sistem Kod QR sepenuhnya.

Bagaimanapun, bagi penyokong yang membeli tiket Piala AIRMARINE 2019 dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 secara online tetapi tetap mahu mendapatkan tiket fizikal untuk dijadikan bahan koleksi, mereka boleh membuat pilihan untuk menebus tiket di kaunter ketika membuat pembelian secara online.

Untuk tujuan itu, mereka akan diberikan penerangan menerusi e-mel mengenai cara-cara membuat penebusan tiket fizikal di kaunter khas penebusan tiket online yang akan dibuka pada hari perlawanan.

Biarpun mahu menggalakkan para penyokong membeli tiket lebih awal iaitu secara online, FAM akan membuka juga kaunter tiket biasa pada hari perlawanan dengan mengambil kira faktor terdapat juga penyokong yang tidak dapat berbuat demikian kerana sebab-sebab tertentu. Tiket biasa ini juga tetap akan dilengkapi dengan Kod QR.

Apa pun, penambahbaikan yang dilakukan FAM bagi pelaksanaan sistem tiket ini diharap mampu melancarkan urusan pembelian dan kemasukan penyokong Harimau Malaya ke stadium berbanding beberapa kesulitan yang dihadapi mereka ketika Piala Suzuki AFF 2018.

Bagi mereka yang ingin membeli tiket Piala AIRMARINE 2019 secara online, sila layari www.proticket.com.my dengan harga RM45 (grandstand), RM35 (terbuka) dan RM25 (pelajar 7 hingga 18 tahun) bagi setiap hari perlawanan iaitu setiap tiket boleh menyaksikan dua perlawanan pada hari yang sama. Setiap pembelian secara online ini dikenakan caj sebanyak RM10.

Tiket Piala AIRMARINE 2019 juga sudah boleh dibeli di sembilan outlet The Guitar Store di sekitar Lembah Klang iaitu di Taman Segar Cheras, Desa Sri Hartamas, Damansara Perdana, IOI Boulevard Puchong, J-Avenue Balakong, Kota Kemuning, Jalan Kuchai Maju dan SS15 Subang Jaya serta di Weng Kee Restaurant, Taman Mewah Jaya, Klang.

Di luar Lembah Klang, tiga outlet yang terlibat adalah Inverno Music Station di Mahkota Parade, Melaka serta Evolution Music House di Plaza Gurney dan Penang House of Music di KOMTAR, kedua-duanya di Pulau Pinang. Semua pembelian tiket di 13 outlet ini tidak dikenakan sebarang caj tambahan.

Sementara itu, tiket perlawanan-perlawanan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22, 24 dan 26 Mac 2019 pula sudah mula dijual secara online di www.tickethotline.com.my iaitu dengan harga RM20 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 7-12 tahun) bagi setiap hari perlawanan. Setiap tiket dibeli secara online ini dikenakan caj RM3.69 (dewasa) dan RM3.60 (kanak-kanak).

Untuk makluman, pembelian di kaunter tiket biasa di stadium pada kesemua enam hari perlawanan di atas tidak akan dikenakan sebarang caj tambahan. Hanya pembelian secara online yang dikenakan caj berkenaan.

Akhir kata, FAM ingin memohon maaf sekiranya terdapat isu-isu berbangkit nanti dalam pelaksanaan sistem QR Kod ini kerana kami sedang dalam usaha untuk cuba memajukan lagi sistem penjualan tiket dan kemasukan penyokong ke stadium ke arah yang lebih sistematik.