Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara khususnya dari segi bola sepak.
Baca Juga:
- Hamidin Nafi FAM Ada Hutang Lama Dengan TMJ
- Qatar Kongsikan Tarikh Rasmi Piala Asia 2023
- Piala Asia 2023: 8 Stadium Dipilih Sebagai Venue, Enam Pernah Digunakan Ketika Piala Dunia 2022
Perkara ini diumumkan oleh FAM dimana MoU berkenaan ditandatangani hari ini di Doha, Qatar di antara Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dengan Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha.
Turut hadir Setiausaha Agung QFA Mansour al-Ansari dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman.
MoU selama setahun ini akan diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun.
Kerjasama ini meliputi enam bidang iaitu:
– pendidikan kejurulatihan
– pembangunan pengadil
– bola sepak wanita
– perlawanan persahabatan, kem untuk pasukan kebangsaan belia
– struktur dan operasi perlawanan belia
– pembangunan futsal
Sebagai permulaan, skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) telah menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar dan enam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persediaan untuk mengharungi aksi Piala Asia B-17 2023 yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan.
“Akademi Aspire ini sememangnya mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita,” kata Datuk Haji Hamidin yang berada di Doha.
Datuk Haji Hamidin berkata, dalam perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan
masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pertumbuhan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.
“Ini juga bagi melindungi nilai dan tradisi sukan ini memandangkan bola sepak bukan sahaja untuk aktiviti ekonomi, tetapi ia juga instrumen sosial dalam persefahaman antarabangsa,” katanya.
Datuk Haji Hamidin juga menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa pengelola Piala Asia 2023 dan mesyuarat jawatankuasa Exco AFC yang turut diadakan di Doha, hari sama.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Presiden FIFA, Gianni Infantino.