Badan induk bola sepak negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkaitan masalah tunggakan gaji pemain dalam saingan Liga Malaysia.
Semalam, PFAM menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Izham Ismail membuat pendedahan dimana sebanyak 12 pasukan Liga Malaysia masih mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM6.4 Juta dan persatuan tersebut menuntut pelbagai pihak menyelesaikan isu tersebut dengan segera.
Pendedahan tersebut nyata tidak disenangi oleh FAM dimana dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di media sosial badan induk tersebut, mereka menganggap PFAM tidak bertanggungjawab dan tidak adil dalam menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang disebut mereka itu.
Tambah FAM, tidak semua pasukan yang disebut dalam kenyataan PFAM langsung tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan dan kenyataan secara umum yang dibuat itu sesuatu yang tidak profesional dan sudah tentu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
Malah, kenyataan itu jelas bertentangan dengan segala usaha yang telah ditunjukkan oleh sesetengah pasukan dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan secara baik dengan pemain mereka mahupun menerusi PFAM sendiri.
Pada masa yang sama, FAM sebagai badan induk yang memayungi ahli gabungan bola sepak tempatan menggesa agar PFAM berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir serta menimbulkan persepsi negatif terhadap sesama pemegang taruh, termasuk badan-badan yang mungkin ada kaitan dengan institusi keselamatan dan unit berseragam kerajaan.
PFAM Dedahkan 12 Pasukan Mempunyai Tunggakan Gaji Berjumlah RM6.4 Juta https://t.co/VjGLIdsefR
— VOCKET FC (@vocketfc) August 4, 2019
Dalam pendedahan PFAM, mereka turut menyebut beberapa pasukan Liga Malaysia mengambil pendekatan berdiam diri malah ada yang melanggar perjanjian dalam isu tunggakan bekas pemain pasukan terbabit. Lebih memeritkan, nasib pemain yang pernah beraksi bersama pasukan yang telah dibubarkan masih belum jelas kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib para pemain.