Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka belum menerima surat peletakan jawatan Bibi Ramjani Ilias Khan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, KAFA harus menyerahkan salinan surat berkenaan dan sekiranya KAFA juga belum menerima surat tersebut bermakna Bibi masih lagi presiden yang sah.
“Kami tak dapat lagi surat dari KAFA mengenai perkara itu. Selaku badan induk bola sepak negara dengan KAFA adalah ahli gabungan kami, sudah tentu FAM perlu diberi maklum mengenai peletakan jawatan presiden.
“Mungkin mereka belum terima, sebab itu kami juga tidak dimaklumkan. Tapi mengikut peraturan persatuan, hasrat untuk meletakkan jawatan harus melalui tatacara yang betul. Jadi selagi tak dapat surat rasmi, beliau masih lagi Presiden KAFA sehingga surat rasmi dikeluarkan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Selasa lalu, Bibi mengumumkan peletakan jawatan menerusi laman sosial Facebook miliknya selepas didesak oleh ramai pihak bagi melepaskan jawatan beliau selaku presiden KAFA.
Beberapa nama disebut-sebut bakal bertanding bagi merebut jawatan presiden antaranya Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.