Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat akan mengumumkan pengganti kepada E.Elavarasan yang mengundurkan diri sebagai pengendali skuad B-23 Tahun negara baru-baru ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S.Sivasundaram yang mana badan induk itu akan mengadakan perbincangan sekaligus mengumumkan pengganti E.Elavarasan dalam masa terdekat.

“Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) akan mengeluarkan kenyataan pada Sabtu ini,” katanya menurut perkongsian Astro Arena.

Menurut kenyataan rasmi FAM, Elavarasan akan kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad senior negara.

FAM sebelum ini membuat keputusan melantik E.Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekaligus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

FAM E.Elavarasan
FOTO: FAM

Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Datuk Haji Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Pan Gon dalam skuad senior, sekaligus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.