Menurut sebuah laporan dari portal FourFourTwo melaporkan bahawa Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Micheal Ramalingam akan membuat rayuan kepada pihak AFC untuk mendapatkan slot AFC Cup jika pasukan kelab dari Malaysia gagal layak ke kejohanan utama AFC Champions League 2019.
“Mulai musim hadapan, satu pasukan dari Malaysia (Johor Darul Ta’zim) akan beraksi dalam saingan AFC Champions League, manakala sebuah lagi pasukan ( diantara Perak FA atau Pahang FA) akan beraksi dalam pusingan kelayakan. Jika pasukan tersebut gagal layak ke kejohanan utama, mereka akan terus terkeluar dari saingan bola sepak Asia sepenuhnya,” kata Stuart Ramalingam.
“Saya tidak rasa perkara itu sebagai perkembangan yang bagus untuk bola sepak Malaysia terutamanya. Ini adalah sebab mengapa FAM terus menekan untuk mendapatkan slot automatik bagi pasukan yang terkeluar dari saingan kelayakan AFC Champions League dapat beraksi dalam kejohanan AFC Cup.”
Malaysia berjaya mengatasi Hong Kong dalam kedudukan AFC MA Ranking untuk menerima slot automatik peringkat kumpulan AFC Champions League untuk musim 2019 dan 2020.
Berdasarkan kedudukan sebagai pasukan MA ke 6 terbaik Asia Timur, Malaysia dijamin 1 kedudukan automatik dan 1 slot kelayakan 2. Pasukan yang akan beraksi dalam kelayakan 2 AFC Champions League 2019 masih belum ditentukan.
Pahang yang muncul sebagai juara Piala FA menerima slot tersebut secara merit tetapi disebabkan telah digantung dari menyertai kejohanan peringkat Asia oleh FAM selama 2 tahun, slot tersebut mungkin diberikan kepada Perak FA.
Mengikut perkembangan terbaru, pasukan Perak FA telah menghantar semua dokumen untuk membolehkan mereka beraksi dalam peringkat kelayakan AFC Champions League 2019.