Pemain sayap lincah skuad kebangsaan yang terlepas 3 aksi pertama peringkat kumpulan kejohanan Piala AFF 2020, Faisal Halim kini sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan bertemu Indonesia pada Ahad nanti.
Dalam satu temubual media bersama Faisal Halim, beliau secara jujur menyatakan sedih kerana tidak dapat membantu pasukan Malaysia dalam 3 perlawanan awal disebabkan menjalani kuarantin, tetapi kini semuanya sudah kembali baik dan bersemangat untuk diturunkan.
“Alhamdulillah, syukur dapat keluar daripada kuarantin. Cuma, secara jujurnya agak sedih sebab saya tidak dapat beraksi dalam 3 perlawanan. Sekarang semua berada dalam keadaan yang baik dan sudah kembali berlatih bersama pasukan.”
“Apa yang penting, saya sudah bersedia untuk bermain dan terpulang kepada jurulatih (Tan Cheng Hoe) untuk memberikan peluang untuk saya atau sebaliknya.”
“Saya sendiri perlu mempersiapkan diri saya dahulu. Apa jua sekalipun,mental dan juga fizikal saya dalam keadaan baik dan 100% bersemangat untuk bermain.”
10 Hari Tidak Berlatih Dengan Pasukan, Faisal Halim Tidak Struggle.
Menjelaskan keadaan atau situasi yang beliau sendiri hadapi, bukan mudah untuk Faisal Halim berdepan apa yang dilalui sejak tiba di Singapura.
“Memang sukar bagi saya. Agak sedih dengan dugaan yang saya terima, tapi saya sebagai pemain perlu terima apa jua keadaan sekalipun yang melanda diri saya, fikir secara positif.”
“Yang penting, dalam 10 hari kuarantin saya bukan duduk saja, saya kekalkan saya punya fitness, melakukan latihan dalam bilik dan apabila saya kembali bersama pasukan benda tu semua saya tak struggle mengikuti sesi latihan walaupun 10 hari saya tak bersama.”
“Sudah tentu saya datang kesini bukan untuk duduk dalam bilik selama 10 hari. Saya datang untuk mengekalkan prestasi yang terbaik saya dalam tahun ini.
“Tapi apa yang saya boleh buat, ini semua takdir saya terima dengan hati yang terbuka. Apa yang saya perlu lakukan sekarang, kita perlu bangun dan buat sesuatu yang diluar jangkaan orang.
“Apa yang boleh saya katakan, 3 perlawanan sebelum ini memang saya sangat kecewa dan sedih kerana saya tak sangka benda ini berlaku pada saat-saat yang saya ingin bermain.”
“Sebelum datang ke Singapura, memang saya katakan pada diri saya sendiri ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu dan mampu bermain pada peringkat yang lebih tinggi.”
“Sekarang saya boleh katakan, saya jujur kepada semua orang, dari segi mental dan fizikal memang saya 100% ready untuk lawan dengan Indonesia.”
“Terpulang kepada taktikal coach kerana dia ada perancangan tersendiri, sekiranya memberikan peluang untuk saya bermain sebagai pemain kesebelasan utama atau pemain gantian.”
“Saya tidak ada masalah, yang mana-mana coach mahukan saya akan buktikan yang terbaik dan saya sedia untuk bermain.”
Tidak Anggap Pertemuan Dengan Indonesia Perlawanan Terakhir Malaysia
“Saya tak nak anggap ini (bertemu Indonesia) adalah perlawanan terakhir untuk saya dan rakan-rakan pemain yang lain.”
“Saya dah terlepas 3 perlawanan, sia-sia kalau saya datang selama sebulan tinggal keluarga, tinggal anak, tinggal isteri semata-mata untuk bermain satu perlawanan dan pulang, itu adalah sesuatu yang tidak berbaloi untuk diri saya dan rakan-rakan lain.”
“Apa yang boleh saya katakan perlawanan (bertemu) Indonesia ini amat-amat penting untuk kita (pemain) dan rakyat Malaysia yang kita perlu menang dengan apa jua cara pun untuk melayakkan diri ke separuh akhir.”
Dijangkakan Faisal Halim akan diturunkan dalam kesebelasan utama Malaysia bertemu Indonesia pada hari Ahad ini untuk mencari kemenangan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020.
Sama-sama kia berikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan Malaysia untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.
“Penganjur Goblok, AFF Mafia”, Penyokong Indonesia Mengamuk Elkan Baggott Kena Kuarantin
‘Tahi Judi’ Ini Bengang Malaysia Menang Besar, Dakwa Laos Jual Perlawanan Di Singapura