Tonggak jentera sayap Terengganu FC (TFC), Mohamad Faisal Abdul Halim mengakui kaedah yang diterapkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain menjadi kunci kepada permulaan baik kelab tersebut dalam saingan Liga Super Malaysia 2021.
Faisal yang mempamerkan aksi baik pada ketika ini berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika membantu TFC menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Perak, kelmarin.
Sehubungan dengan itu, TFC kini melakarkan rekod kemenangan 100 peratus untuk menduduki tangga kedua Liga Super, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim.
Mengulas mengenai pasukan yang baharu diwakilinya itu, Faisal melihat ketiadaan pemain bintang buat TFC tidak menjadi masalah berikutan pendekatan diambil Nafuzi yang nyata tidak membebankan para pemain.
Sebelum datang ke sini, saya ingatkan setiap pemain akan sentiasa diletakkan tekanan untuk menang namun nyata cara di sini berbeza di bawah jurulatih, Nafuzi yang ada caranya tersendiri disenangi semua.
“Suasana di sini lebih santai dan kami berasa lebih mudah untuk bermain tanpa ada rasa bebanan, itu menjadi salah satu faktor utama kami berjaya bermain agak baik dalam tiap perlawanan.
“Kami membuktikan di dalam pasukan ini walaupun majoriti terdiri daripada pemain muda, kami ada kualiti untuk pergi lebih dalam saingan Liga Malaysia selepas mampu meraih kemenangan dalam semua perlawanan setakat ini,” ujar Faisal Halim.
Cabaran seterusnya buat Faisal Halim dan TFC ialah bertemu Melaka United pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, esok.