Pemain sayap Selangor, Mohamad Faisal Halim gembira dapat memberikan sumbangan bermakna kepada skuad kebangsaan selepas melalui episod penggantungan selama sebulan baru-baru ini.

Jaringannya di separuh masa pertama membantu Malaysia mengikat pasukan di ranking 80 dunia, China dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu.

Malah, prestasinya juga turut mendapat pujian daripada para peminat dan Faisal menyifatkan ia adalah rezeki daripada Allah selepas tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia selama sebulan.

“Alhamdulillah, lepas saya digantung selama sebulan, saya tidak beraksi, inilah rezeki Allah yang masih memberi peluang kepada saya.

“(gol) ini bukan untuk saya sebenarnya tetapi untuk rakyat Malaysia. Saya berterima kasih kepada semua yang selalu memberikan sokongan dan mendoakan saya.

“Saya harap perlawanan selepas ini, kita lebih berjaya dan lebih gaya untuk beraksi selepas ini, insya-Allah, terima kasih,” kata Faisal selepas tamat perlawanan.

Sebelum ini, Faisal dikenakan penggantungan selama sebulan terlebih dahulu, dengan baki tiga bulan lagi ditangguhkan sehingga Ogos tahun depan, tertakluk kepada kelakuan pemain itu.

Bagaimanapun, FAM memberi kelonggaran membenarkan beliau kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.

Namun, Faisal kembali beraksi dalam saingan Liga Super ketika menentang Kelantan pada 25 Ogos lepas.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini merupakan pemain tempatan paling cemerlang apabila meledak 10 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.