Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan khabar angin mengenai pemain sayap skuad Harimau Malaya dan Selangor, Faisal Halim dilaporkan telah digantung selama sebulan kerana melakukan kesalahan ketika aksi Liga Super.

Hukuman itu sekaligus memberi tamparan hebat kepada Selangor yang ketika ini dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.

Menurut laporan Harian Metro, difahamkan beliau dihukum bukanlah kerana mengasari pengadil tetapi pemain terbabit dikatakan mengeluarkan kenyataan sensitif.

Berdasarkan rekod, Faisal atau dikenali sebagai Mickey meluahkan kekecewaannya ketika ditemubual oleh pihak media selepas pasukannya mencatatkan kekalahan ke 2-1 di tangan Sabah FC pada April lalu.

Beliau dipercayai bercakap mengenai mutu pengadilan yang didakwa berat sebelah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas itu.

“Saya tak boleh cakap secara terus, saya hanya pemain biasa. Saya tak ada duit nak bayar denda dan saya tak nak kena gantung. Saya jujur dan ikhlas dengan kerja saya, begitu juga saya nak pihak lain yang terbabit ikhlas menjalankan tanggungjawab.

“Kami ingin perlawanan yang adil, kalau perlawanan adil kami kalah 5-0, 10-0 tak apa kami terima. Tapi dengan cara begini kami kecewa dan tak boleh terima dengan hati yang terbuka.

“Kami perlu teruskan perjuangan, apa yang penting kami berada dalam landasan yang baik. Tetapi saya mengharap kepada semua pemain dengan keputusan malam ini, tak menjatuhkan kami.

“Kami tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tetapi ini bola sepak, kami perlu perlawanan yang adil dan jujur,” katanya selepas tamat perlawanan.

Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai hukuman tersebut dan badan induk itu dijangka akan mengumumkan dalam masa terdekat.