Ketua pasukan Indonesia, Fachruddin Wahyudi Aryanto menganggap skuad Garuda masih mempunyai peluang untuk mara ke pentas final Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas terikat tanpa jaringan pada separuh akhir pertama, semalam.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu gagal menggunakan kelebihan beraksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta untuk mendapatkan kelebihan jaringan walaupun kelihatan lebih berbahaya dalam memberikan ancaman buat juara dua kali tersebut.

Seperti yang dapat disaksikan pada perlawanan tersebut, Indonesia mendapat peluang terbaik bagi mendapatkan jaringan menerusi Marselino Ferdinan dan Yakob Sayuri.

Namun penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam tangkas menghalang gawangnya daripada dirobek duo jentera serangan Indonesia tersebut.

Melihatkan kepada aksi yang dipamerkan rakan sepasukannya, Fachruddin jelas masih optimis dengan kemampuan Indonesia untuk melangkah ke perlawanan akhir.

“Kami bekerja keras pada malam ini [semalam],” ujar Fachruddin Aryanto menurut sumber laporan Asean Football.

“Walaupun kami tidak berjaya meraih kemenangan, kami juga tidak mengalami kekalahan pada perlawanan ini.”

“Kami bermain dengan begitu bersungguh-sungguh dan saya merasakan kami mempunyai setiap peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.”

Indonesia akan terbang ke Hanoi pada tengah hari ini untuk pertemuan kedua yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari 2023 di Stadium My Dinh.

Sebagai rekod, kali terakhir Indonesia bertemu Vietnam di stadium tersebut berkesudahan dengan terikat 2-2 yang menyaksikan naib juara enam kali itu layak ke final menerusi kelebihan agregat.