Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan syarikat pengeluar minuman bertenaga, Extra Joss, PT Bintang Toedjoe sebagai rakan penaja terbaharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya untuk tempoh setahun.
Baca Juga:
- TV9 Siar Dua Aksi Persahabatan Harimau Malaya Pada Bulan Jun
- Selepas Iraq, Giliran Taiwan Pula Berminat Lawan Harimau Malaya
- Datuk Hamidin Tidak Akan Biarkan Konsert Coldplay Ganggu Skuad Harimau Malaya
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Dato’ Sri Shahril Mokhtar, kehadiran Extra Joss yang sudah cukup sinonim di dalam arena sukan negara akan memberi ruang kepada FAM untuk memperluaskan lagi jenama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“Seperti yang kita tahu, Extra Joss merupakan antara jenama minuman tenaga terkenal dan menerusi kerjasama yang dimeterai hari ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan prestasi pemain Harimau Malaya beraksi, malah mampu menjadi jambatan persahabatan antara dua negara.
“Mewakili Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan seluruh warga kerja FAM, saya amat mengalu-alukan kedatangan Extra Joss sebagai rakan minuman tenaga rasmi FAM dan mengharapkan kerjasama ini akan mendatangkan manfaat buat skuad bola sepak kebangsaan serta Extra Joss,” kata Dato’ Sri Shahril.
Majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan Extra Joss itu telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya petang tadi dengan disaksikan oleh kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram.
Yang turut hadir adalah barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman serta Ibu Fanny Kurniati dan Bapak Daniel Christianto (wakil Extra Joss).
Sementara itu, Ibu Fanny berkata Extra Joss amat teruja untuk memulakan kolaborasi bersama FAM lebih-lebih lagi menjelang perlawanan antarabangsa Tier 1 di Kuala Terengganu pada 14 dan 20 Jun ini.
“Kolaborasi bersama FAM amat istimewa buat kami di Extra Joss kerana kami tahu jenama Harimau Malaya adalah cukup signifikan buat peminat-peminat bola sepak di Malaysia.
“Kami juga melihat kolaborasi ini sebagai peluang keemasan buat kami untuk memperluaskan lagi serta menembusi pasaran tempatan selain mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif menerusi Extra Joss.
“Extra Joss mempunyai visi untuk menjadi pakar tenaga nombor satu di Asia Tenggara. Tujuan Extra Joss untuk memberi tenaga kepada orang ramai untuk mencapai prestasi yang luar biasa dan berkembang maju dalam dunia yang kompetitif. Extra Joss menyediakan penggalak tenaga segera dan fokus untuk bekerja lebih jauh dan menjadi juara,” ujar Ibu Fanny.