Wales dan Switzerland berpuas hati dengan satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi kumpulan A Kejuaraan Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi.
Switzerland yang dibimbing Vladimir Petkovic dilihat lebih menguasai permainan sebaik sahaja aksi dimulakan pengadil perlawanan, Clement Turpin dari Perancis.
Wales bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang Switzerland pada minit ke-15 apabila Kieffer Moore melonjak tinggi bagi menanduk hantaran cantik daripada pemain sayap, Daniel James.
Namun, tandukan penyerang berusia 29 tahun itu dinafikan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Permainan selepas itu memperlihatkan penguasaan ditampilkan Switzerland dengan Fabian Schar melakukan kuisan cantik susulan sepakan sudut Xherdan Shaqiri yang ditepis keluar Danny Ward, berselang lima minit kemudian.
Penyerang Switzerland, Haris Seferovic mungkin menjadi pemain yang paling kecewa pada separuh masa pertama setelah tiga percubaannya dalam kawasan penalti gagal menemui sentuhan diharapkan.
Babak kedua menyaksikan dua jaringan terhasil dan lebih menarik kedua-dua gol tersebut menjelma menerusi tandukan.
Berpunca daripada sepakan penjuru daripada Shaqiri, Breel Embolo menyambar hantaran tersebut untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-49.
Kelebihan itu dipadamkan Wales ketika perlawanan memasuki minit ke-74 setelah Moore berjaya menanduk masuk bola susulan hantaran dilakukan Joe Morrell.
Switzerland terlepas peluang untuk meraih kemenangan apabila jaringan Mario Gavranovic pada minit ke-84 dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) kerana beliau terlebih dahulu dikesan ofsaid untuk perlawanan berkesudahan terikat 1-1.
Dengan keputusan yang dicatatkan, Itali kini berada di tangga teratas saingan kumpulan A selepas berjaya menumpaskan Turki 3-0 pada aksi pembukaan, awal pagi tadi. Wales dan Switzerland berkongsi satu mata manakala Turki di kedudukan keempat.