Sepanyol terus ketandusan kemenangan dalam kempen Euro 2020 apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Poland pada aksi yang berlangsung di Estadio de la Cartuja, Seville sebentar tadi.
Ia merupakan keputusan seri kedua dicatatkan skuad kendalian Luis Enrique itu selepas diikat Sweden tanpa jaringan pada pertemuan sulung di gelanggang sama pada Selasa lalu.
Keputusan itu juga menyebabkan persaingan keempat-empat pasukan dalam kumpulan E untuk layak ke pusingan 16 masih lagi terbuka dimana Sweden mendahului dengan empat mata, berkelebihan satu mata di hadapan Slovakia manakala Sepanyol di kedudukan ketiga dan diikuti Poland [satu mata].
Turun dengan misi untuk meraih kemenangan menyaksikan Sepanyol mendominasi sebahagian besar permainan dan Poland sesekali melakukan serangan balas terutamanya pada babak pertama.
Poland yang dibimbing Paulo Sousa terlebih dahulu menguji gawang Sepanyol seawal minit keenam apabila Mateusz Klich melakukan rembatan dari luar kawasan penalti tetapi percubaan tersebut hanya sedikit melewati palang gol.
Kedudukan berubah pada ke-25 setelah Alvaro Morata yang seringkali mendapat kritikan penyokong berjaya menolak masuk bola hasil hantaran ke dalam kawasan penalti dilakukan Gerard Moreno bagi menewaskan Wojciech Szczęsny.
Jaringan tersebut pada mulanya dibatalkan kerana didakwa Morata berada dalam kedudukan ofsaid tetapi rujukan Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan gol itu.
Moreno kemudiannya hampir melebarkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-34 tetapi sepakan percuma yang diambil sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Poland.
Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, Poland mendapat dua peluang berturut-turut apabila rembatan Karol Swiderski dari jarak jauh singgah di tiang gol dan percubaan susulan Robert Lewandowski pula dinafikan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.
Kedudukan kembali terikat ketika perlawanan memasuki minit ke-54 apabila Lewandowski berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada Kamil Jozwiak yang nyata mengecewakan kem Sepanyol.
Sepanyol berpeluang untuk sekali lagi berada di hadapan berselang empat minit kemudian setelah mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Jakub Moder terhadap Moreno.
Moreno bagaimanapun gagal menyempurnakan peluang tersebut apabila rembatannya terkena tiang gol sebelah kanan manakala percubaan susulan daripada Morata pula sekadar meliar.
Meskipun Sepanyol terus mengawal permainan serta memberikan tekanan ke kawasan penalti lawan tetapi usaha yang diberikan masih belum mampu untuk menghalang Poland mencuri satu mata pada perlawanan ini.