Sweden menamatkan peringkat kumpulan saingan Euro 2020 dengan nota kemenangan apabila berjaya menundukkan Poland 3-2 pada aksi dramatik yang berlangsung di Gazprom Arena, Rusia sebentar tadi.
Kemenangan yang menjelma tersebut bagaimanapun tidak hadir dengan mudah selepas Poland bangkit melawan daripada ketinggalan dua gol dan kemudiannya memberikan tekanan pada lewat permainan.
Sweden yang pastinya turun dengan motivasi tinggi untuk menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Emil Forsberg.
Forsberg tidak mensia-siakan peluang yang dimilikinya dalam kawasan penalti apabila percubaan rendah dilakukannya tidak mampu diselamatkan penjaga gol Poland, Wojciech Szczęsny.
Perlawanan dengan aksi saling berbalas serangan itu semakin menarik selepas Robert Lewandowski terlepas peluang keemasan pada minit ke-17 apabila dua kali tandukannya hasil situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Sweden sekadar singgah di palang gol dan kemudiannya Mikael Lustig mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Penjaga gol Sweden, Robin Olsen kemudiannya bertindak cemerlang dengan menafikan dua percubaan padu dari luar kawasan penalti diledakkan Piotr Zieliński pada masa kecederaan babak pertama dan minit ke-47.
Sweden mengukuhkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-59 setelah Forsberg sekali lagi menemui sentuhan jaringan dengan menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti hasil gerakan lincah dimulakan pemain gantian, Dejan Kulusevski.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Poland tampil dengan lebih kemas dan skuad kendalian Paulo Sousa itu hanya memerlukan dua minit untuk mengurangkan defisit jaringan apabila percubaan daripada Robert Lewandowski berjaya membolosi Olsen.
Empat minit kemudian, kedudukan hampir terikat selepas Jakub Świerczok menolak masuk bola hantaran lintang Lewandowski tetapi beliau terlebih dahulu disahkan berada dalam kedudukan ofsaid.
Kehampaan tersebut ditebus Lewandowski pada minit ke-84 selepas peledak berbisa kancah bola sepak dunia itu melepasi perangkap ofsaid bagi menjadikan kedudukan 2-2.
Ketika Poland semakin giat menggandakan asakan, Viktor Claesson mematikan sisa perjuangan lawan tersebut pada masa kecederaan apabila beliau yang mendapat lorongan baik daripada Kulusevski berjaya menolak masuk bola bagi menghadiahkan jaringan kemenangan buat Sweden.
Dengan kemenangan dramatik itu, Sweden berada di tangga teratas saingan kumpulan E dengan tujuh mata, berkelebihan dua mata berbanding Sepanyol di tangga kedua.