Itali masih mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam kempen Euro 2020 selepas berjaya menundukkan Wales 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadio Olimpico, Rome sebentar tadi.
Di sebalik kekalahan tersebut, kem Wales tetap melonjak kegembiraan selepas mereka sah mengiringi Itali ke pusingan 16 selaku pasukan di tangga kedua kumpulan A setelah memiliki kelebihan perbezaan jaringan berbanding Switzerland yang turut mengutip empat mata.
Itali yang lebih awal mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati telah membuat lapan pertukaran terhadap kesebelasan utama pada perlawanan ini dan Roberto Mancini hanya mengekalkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, Leonardo Bonucci dan Jorginho.
Keadaan itu bagaimanapun langsung tidak begitu mengganggu rentak skuad Azzurri yang lebih menguasai permainan sejak dari mula.
Emerson Palmieri memberikan ancaman awal buat penjaga gol Wales, Danny Ward pada minit ke-15 apabila melakukan percubaan dari luar kawasan penalti, tetapi percubaannya mudah ditangkap kemas penjaga gol Leicester City itu.
Wales yang masih segar dengan kemenangan ke atas Turki pada Khamis minggu lalu mendapat peluang pada minit ke-27, namun tandukan Chris Gunter setelah menerima hantaran sepakan sudut Daniel James sedikit melewati palang.
Nasib sama turut dialami Federico Chiesa berselang tiga minit kemudian selepas percubaannya dalam kawasan penalti susulan situasi sepakan sudut ke arah pintu gol Wales dihalang Ethan Ampadu.
Jaringan yang dinantikan hadir pada minit ke-39 apabila Matteo Pessina menguis dengan baik bola hasil sepakan percuma diambil Marco Veratti untuk memberikan jaringan pendahuluan buat Itali.
Federico Bernardeschi hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-53, tetapi sepakan percuma menarik diledakkannya hanya singgah di tiang gol.
Dua minit kemudian, Wales yang dibimbing Rob Page terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Ethan Ampadu dilayangkan kad merah berikutan kekasarannya terhadap Bernardeschi
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat Itali dan keputusan tersebut juga turut memberikan kepuasan buat Wales.