Penampilan sulung dalam saingan Euro yang penuh gemilang buat Finland apabila berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Denmark pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen sebentar tadi.
Perlawanan yang terhenti hampir dua jam selepas dikejutkan dengan insiden Christian Eriksen rebah secara tiba-tiba pada minit ke-43 itu kembali bersambung setelah pemain tengah tersebut disahkan berada dalam keadaan stabil di hospital.
Insiden mengejut itu dilihat seolah-olah tidak langsung menyentap semangat anak buah Kasper Hjulmand untuk terus mendominasi aksi apabila mengawal permainan dengan baik.
Sama seperti corak permainan ditampilkan pada keseluruhan babak pertama dimana Denmark berjaya menjelmakan empat percubaan berbahaya ke arah pintu gol lawan termasuk salah satunya daripada rembatan padu Eriksen, juara edisi 1992 itu berterusan memberikan tekanan buat Finland.
Bagaimanapun, dalam keghairahan Denmark mengatur gerakan, skuad kendalian Markku Karneva itu mengejutkan kem tuan rumah apabila tandukan Joel Pohjanpalo pada minit ke-60 setelah menerima hantaran lintang daripada Jere Uronen gagal dihalang Kasper Schmeichel untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Lebih menarik, ia juga merupakan satu-satunya percubaan yang berjaya dijelmakan Finland pada perlawanan ini.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Denmark memperkemaskan aksi untuk kembali menyamakan kedudukan dan usaha tersebut hampir membuahkan hasil pada minit ke-74 selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan kesilapan Paulus Arajuuri mengasari Yussuf Poulsen.
Penjaga gol Finland, Lukas Hradecky bagaimanapun bertindak cemerlang apabila beliau berjaya menyelamatkan sepakan yang diambil Pierre-Emile Hoejbjerg.
Permainan selepas itu menyaksikan Denmark semakin meningkatkan tekanan ke kubu lawan tetapi Hradecky dan jentera pertahanan Finland kental bertahan untuk mengekalkan kedudukan sekali gus meraih kemenangan pada penampilan pertama mereka dalam saingan ini.