Dua jaringan pada separuh masa kedua menyaksikan England mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Jerman pada aksi pusingan 16 Kejuaraan Euro yang berlangsung di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Kemenangan yang pastinya amat dinantikan para penyokong The Three Lions itu menyaksikan England bakal menanti pemenang antara Sweden dan Ukraine dalam saingan suku akhir nanti.
Jerman yang merupakan juara edisi 1972, 1980 dan 1996 itu terlebih dahulu menguji gawang England apabila Leon Goretzka melakukan percubaan dari luar kawasan penalti pada minit keempat.
Rembatan pemain tengah berusia 26 tahun itu bagaimanapun mudah ditangkap kemas penjaga gol, Jordan Pickford.
England kemudiannya memperkemaskan aksi dengan menjelmakan peluang terbaik pada minit ke-16 tetapi rembatan jarak jauh Raheem Sterling berjaya diselamatkan Manuel Neuer.
Berselang seminit kemudian, Neuer sekali lagi menafikan peluang dimiliki England selepas beliau tidak berdepan masalah untuk menafikan tandukan dilakukan ketua pasukan, Harry Maguire.
Timo Werner terlepas peluang pada minit ke-32 setelah rembatannya dalam kawasan penalti selepas menerima lorongan menarik daripada Kai Havertz berjaya diselamatkan Pickford.
Kemasukan Jack Grealish pada minit ke-69 nyata mengubah corak serangan England dimana pemain tengah tersebut terlibat dalam penghasilan dua jaringan yang berjaya dijelmakan itu.
Bermula daripada hantaran Grealish yang membuka ruang kepada Shaw di sebelah kiri pintu gol Jerman kemudiannya membolehkan pemain sayap kiri itu melakukan hantaran lintang menarik ke hadapan pintu gol Jerman.
Peluang tersebut nyata tidak disia-siakan Raheem Sterling selepas beliau menolak masuk bola bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-75. Ia merupakan jaringan ketiga buat Sterling dalam kempen setakat ini.
Kedudukan hampir berubah beberapa minit kemudian apabila kecuaian Sterling menyebabkan Thomas Muller mendapat peluang terbaik di hadapan pintu gol tetapi percubaannya setelah berjaya melepasi pertahanan England hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Harry Kane yang sentiasa dikecam berikutan aksi longlai ditampilkan sebelum ini menutup mulut pengkritiknya selepas beliau menanduk masuk bola hantaran Grealish sekali gus mengesahkan kemenangan bermakna 2-0 buat skuad kendalian Gareth Southgate itu.