Segala teori berkaitan England yang dikatakan mahu mengelakkan laluan sukar di pusingan 16 kejuaraan Euro 2020 nyata meleset apabila skuad Three Lions itu menamatkan saingan kumpulan D di tangga teratas selepas berjaya menundukkan Republik Czech 1-0 di Stadium Wembley sebentar tadi.
Aksi yang dianggap sebagai pelengkap jadual selepas kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan 16 berlangsung dengan menghiburkan apabila corak permainan pantas dijelmakan.
England yang membariskan Jack Grealish dan Bukayo Saka serta kembali diperkuatkan dengan kehadiran tonggak pertahanan, Harry Maguire dilihat lebih banyak melancarkan serangan berbahaya ke kubu Republik Czech.
Skuad kendalian Gareth Southgate itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan, bagaimanapun percubaan lambung Raheem Sterling setelah menerima lorongan cantik daripada Luke Shaw sekadar singgah di tiang gol ketika penjaga gol, Tomas Vaclik sudah jauh meninggalkan posisinya.
Kehampaan Sterling itu ditebus olehnya berselang 10 minit kemudian apabila pemain lincah tersebut mudah menanduk masuk bola susulan hantaran lintang menarik daripada Jack Grealish bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Memasuki minit ke-26, Harry Kane terlepas peluang terbaik setelah beliau menerima hantaran lolos cantik dilakukan Maguire, namun percubaannya setelah melepasi kawalan pertahanan ditepis keluar Vaclik.
Seminit kemudian, Republik Czech yang sesekali mencipta peluang berjaya mencipta peluang terbaik tetapi rembatan padu pemain tengah, Thomas Holes memaksa Jordan Pickford melayangkan badannya lalu menepis keluar bola bagi menyelamatkan keadaan.
Thomas Soucek turut terlepas peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan selepas percubaan susulannya dalam kawasan penalti sedikit sahaja tersasar di sebelah kanan England ketika Pickford sudah pun mati langkah.
Enggan terus ditekan, England kembali memperkemaskan aksi dengan melancarkan serangan balas pantas pada minit ke-37 dimana cubaan Shaw untuk melakukan hantaran lintang terus menuju ke pintu gol yang kemudiannya dinafikan Vaclik.
England hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-86 tetapi jaringan pemain gantian, Jordan Henderson dibatalkan selepas beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk England menghuni tangga teratas kumpulan D dengan tujuh mata manakala Croatia di tangga kedua dengan empat mata.
Sementara itu, Republik Czech pula layak ke pusingan 16 selaku salah satu pasukan di kedudukan ketiga terbaik dengan empat mata.
Dengan kedudukan tersebut juga, England akan menanti antara Perancis, Jerman atau Portugal di pusingan 16 nanti.