Denmark terus mempamerkan kecemerlangan untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Euro 2020 selepas berjaya melepasi cabaran Republik Czech 2-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi.
Bangkit daripada kehilangan tonggak utama, Christian Eriksen dan dua kekalahan awal di peringkat kumpulan, Denmark langsung tidak memandang ke belakang untuk tampil dengan corak permainan berpasukan yang menarik.
Skuad kendalian Kasper Hjulmand itu tidak menunggu masa yang lama untuk menghasilkan jaringan pendahuluan apabila Thomas Delaney hanya memerlukan lima minit bagi memberikan kelebihan buat Denmark.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran sepakan penjuru yang diambil Jens Stryger Larsen dan kemudiannya ditanduk Delaney dimana beliau tidak dikawal pemain pertahanan sekali gus menewaskan penjaga gol Republik Czech, Tomas Vaclik.
Gol itu nyata menyemarakkan lagi semangat para pemain Denmark untuk terus mengasak kubu Republik Czech yang mencipta kejutan menundukkan Belanda pada aksi pusingan 16 tempoh hari.
Mikkel Damsgaard yang mendapat umpanan menarik dari tengah padang dilakukan Pierre-Emile Hoejbjerg, hampir menambah jaringan kedua apabila beliau berupaya melepasi kawalan pertahanan Republik Czech serta melakukan percubaan menewaskan Vaclik tetapi Vladimir Coufal lebih bersedia untuk menyelamatkan keadaan pada minit ke-13.
Berselang empat minit kemudian, Stryger Larsen melakukan hantaran lintang buat Delaney di hadapan pintu gol lawan tetapi pemain tengah tersebut sedikit mati langkah dan bola hanya terkena lututnya untuk bola tersasar di sebelah kiri pintu gol.
Kasper Schmeichel hampir dihukum pada minit ke-22 selepas beliau melakukan sepakan terus ke kaki pemain Republik Czech, Lukas Masopust yang kemudiannya melorongkan bola buat Tomas Holes dalam kawasan penalti.
Penjaga gol berpengalaman itu bagaimanapun bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan Holes untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Memasuki minit ke-35, Holes sekali lagi menguji gawang Denmark dengan rembatan dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Coufal tetapi mudah buat Schmeichel menangkap kemas percubaan tersebut.
Aksi bertambah menarik dengan Darmgaard berjaya meluru pantas ke pintu gol Republik Czech ketika menerima lorongan cantik daripada Jannik Vestergaard tetapi rembatan padu pemain muda itu ditepis keluar Vaclik.
Kem Denmark sekali lagi melonjak kegembiraan apabila hantaran lintang menarik daripada Joakim Maehle menggunakan ‘Outside Foot’ disudahkan dengan tenang Kasper Dolberg bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut memaksa pengendali Republik Czech, Jaroslav Silhavy membawa masuk Micheal Krmencik dan Jakub Janto sebelum aksi babak kedua dimulakan.
Pertukaran itu nyata mengubah corak permainan Republik Czech pada peringkat awal dimana mereka memperoleh dua peluang terbaik menerusi rembatan jarak jauh diledakkan Krmencik dan Antonin Barak dalam tempoh dua minit.
Namun, percubaan di minit ke-46 dan 47 itu masih belum mampu untuk menewaskan Schmeichel yang kental menangkis dua asakan tersebut.
Kekebalan Schmeichel akhirnya terhenti berselang dua minit kemudian apabila percubaan Patrik Schick setelah menerima hantaran Coufal berjaya membolosi gawang Denmark bagi merapatkan defisit jaringan.
Ia merupakan jaringan kelima buat Schick untuk beliau berkongsi kedudukan di tangga teratas bersama Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak kejohanan buat setakat ini.
Republik Czech selepas itu berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi pertahanan Denmark yang diketuai Simon Kjaer dapat mengekang tekanan dengan baik.
Ketika memasuki lewat permainan barisan serangan Denmark pula kelihatan lebih bernafsu untuk menambah jaringan apabila percubaan jarak jauh pemain gantian, Yussuf Poulsen berjaya dinafikan Vaclik pada minit ke-78.
Empat minit kemudian, permainan ‘satu-dua’ Yussuf bersama Maehle memberikan ruang buat pemain bek sayap itu melepaskan rembatan dalam kawasan penalti. Bagaimanapun, Vaclik sekali lagi cemerlang dalam menghalang percubaan keemasan tersebut menggunakan kakinya.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan Denmark ke separuh akhir bagi menanti pemenang antara England dan Ukraine.