Jaringan menarik daripada Luka Modric menjadi antara perkara yang menghiasi kemenangan 3-1 dicatatkan Croatia ke atas Scotland pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan Euro 2020 di Hampden Park, Glasgow sebentar tadi.

Kemenangan bermakna itu juga menyaksikan Croatia melonjak ke tangga kedua kumpulan D selepas mengumpul empat mata dimana mereka berkelebihan perbezaan jaringan berbanding Republik Czech yang turut layak ke pusingan 16.

Dengan kedua-dua pasukan mengintai kemenangan pada perlawanan ini, corak permainan menarik ditampilkan dalam usaha skuad kendalian Zlatko Dalic dan Steve Clarke itu mencipta jaringan.

Meskipun Croatia lebih mengawal permainan, Scotland nampaknya lebih berbahaya pada 10 minit awal apabila mereka berjaya memperolehi dua peluang terbaik.

Bermula dengan hantaran lintang menarik dilakukan John McGinn ke dalam kawasan penalti bagi mencari Che Adams tetapi penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic lebih bersedia menolak keluar bagi menyelamatkan gawangnya seawal minit keenam.

Berselang empat minit kemudian, Adams melakukan percubaan dari luar kawasan penalti, namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Croatia.

Finalis Piala Dunia 2018 itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas Nikola Vlasic yang menerima umpanan menerusi tandukan daripada Ivan Perisic tidak mensia-siakan peluang walaupun terpaksa melakukan percubaan ketika beliau sudah hampir terduduk.

Percubaan kaki kiri dalam kawasan penalti itu tidak mampu dihalang dihalang David Marshall untuk meletakkan Croatia di hadapan.

Modric hampir menambah kedudukan buat pelawat pada minit ke-22 tetapi rembatan padu dari luar kawasan penalti hanya sedikit melewati palang gol.

Hampden Park bergegak gempita pada minit ke-42 apabila Callum McGregor kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan luar kawsan penalti yang gagal diselamatkan Livakovic.

Jaringan itu juga merupakan gol pertama buat McGregor selepas membuat 34 penampilan bersama skuad Tartan Army.

Memasuki babak kedua, Croatia lebih garang dengan menambah jaringan kedua pada minit ke-62 selepas Modric dengan tenang melakukan percubaan dari luar kawasan penalti menggunakan ‘outside foot’ sekali gus berjaya menewaskan Marshall.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Croatia mengukuhkan lagi kedudukan apabila Perisic menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil Modric untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Scotland selepas itu cuba untuk merapatkan defisit jaringan tetapi Livakovic dan jentera pertahanan Croatia lebih bersedia untuk menghalang gawang mereka sekali lagi dibolosi.

Selaku naib juara kumpulan D, Croatia bakal menanti naib juara kumpulan E di pusingan 16 nanti. Perlawanan tersebut akan berlangsung di Copenhagen pada 18 Jun nanti manakala Scotland tersingkir daripada persaingan selepas hanya mengumpul satu mata.