Austria memulakan kempen Euro 2020 dengan langkah positif apabila berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 bertemu Macedonia Utara pada aksi kumpulan D yang berlangsung di National Arena, Bucharest sebentar tadi.
Mendominasi permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Sweden, Andreas Ekberg, Austria dilihat begitu garang untuk memburu jaringan.
Ancaman pertama skuad kendalian Franco Foda itu hadir seawal minit ke-10 setelah Stefan Lainer melakukan hantaran lintang dan kemudiannya ditanduk penyerang, Christoph Baumgartner yang bagaimanapun mudah ditangkap kemas penjaga gol, Stole Dimitrievski.
Jaringan pembukaan yang dinantikan Austria menjelma pada minit ke-18 apabila Lainer melonjak tinggi bagi melakukan kuisan sekali gus berjaya menewaskan Dimitrievski hasil hantaran kemas daripada Marcel Sabitzer.
Sabitzer sekali lagi menyajikan corak hantaran berkualiti selepas melakukan umpanan cantik buat Sasa Kalajdzic yang hanya berhadapan dengan penjaga gol. Bagaimanapun, kuisan lemah penyerang berusia 23 tahun itu mudah diselamatkan Dimitrievski.
Macedonia Utara kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-28 apabila ketua pasukan, Goran Pandev dengan mudah menolak masuk bola susulan kesilapan penjaga gol Austria, Daniel Bachmann yang gagal menangkap kemas ketika cubaannya untuk menyelamatkan bola dalam situasi kelam-kabut.
Jaringan itu juga menjadikan Pandev sebagai penjaring kedua tertua dalam sejarah kejohanan ini dimana beliau kini berusia 37 tahun, 321 hari.
Rekod penjaring tertua saingan Euro dipegang oleh bekas pemain Austria, Ivica Vastic (38 tahun, 257 hari) yang menjaringkan gol ketika Euro 2008 bertemu Poland.
Pemain gantian, Michael Gregoritsch hampir kembali meletakkan Austria di hadapan ketika perlawanan memasuki minit ke-64 tetapi tandukannya hasil hantaran Marko Arnautovic berjaya ditepis keluar Dimitrievski.
Melihatkan kepada kesukaran rakan-rakan di bahagian serangan untuk menjaringkan gol, David Alaba yang bertindak selaku ketua pasukan dan pertahanan tengah pada perlawanan ini naik ke atas untuk memberikan bantuan.
Langkah itu nyata membuahkan hasil apabila hantaran lintang yang cukup menarik daripada Alaba disambar dengan kemas Gregoritsch pada minit ke-78 bagi kembali memberikan kelebihan buat Austria.
Ketika perlawanan semakin hampir untuk ditamatkan, Arnautovic menambah jaringan ketiga sekali gus mengesahkan kemenangan pertama dalam sejarah buat Austria di pentas Kejuaraan Euro.