Erik Ten Hag menganggap Jadon Sancho sebagai toksik dalam pasukan dan dia harus disingkirkan segera daripada pasukan itu.

Ianya mirip kepada kenyataan Mourinho dahulu yang menyatakan di dalam pasukan United ada virus. Cuma bezanya, Mourinho pada masa itu tidak mendapat sokongan daripada kelab, yang memihak kepada kuasa pemain bintang.

Sebaliknya Ten Hag sudah diberikan jaminan bahawa kelab akan sentiasa menyokong keputusannya berkaitan dengan isu pengurusan pemain.

Sancho masih berkeras enggan meminta maaf kepada Ten Hag selepas mengecam pengurus itu secara terbuka di media sosial. Melabel Ten Hag sebagai menipu dan menjadikannya kambing hitam.

Daily Mail melaporkan bahawa Ten Hag mahu menghapuskan segera sumber toksik dalam pasukan agar tidak merebak kepada pemain lain dan Sancho kini boleh berkira kira mencari kelab baharu.

Dia mahu menjual Sancho segera pada Januari akan datang. Jika gagal menjual secara tetap United sedia melepaskan pemain itu secara pinjaman dengan kelab sanggup membayar sebahagian daripada gajinya yang bernilai £300 ribu seminggu.

Pemain itu sendiri masih tidak menunjukkan sebarang minat untuk kembali beraksi.

Berbeza dengan kenyataan Sancho sebelum ini menyatakan bahawa dia akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan tempat dalam pasukan walaupun seringkali menjadi mangsa dijadikan kambing hitam.

Manchester United sedia menjual pemain itu dengan harga bermula £54 juta jika ada kelab mahukannya. Jauh rendah daripada angka £85 juta yang mereka bayar kepada Dortmund pada 2021 ketika membeli Sancho.

Manchester United sebelum ini berdepan dengan isu kekurangan pemain ketika Antony direhatkan seketika. Dan pemain muda Facundo Pellistri mengambil alih tugasan itu.

Kini Antony sudah kembali semula untuk beraksi di sayap kanan.