Liverpool menjamu kunjungan Manchester United di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Ralf Rangnick kehilangan beberapa pemain utama termasuk Fred, McTominay yang cedera. Mereka juga tanpa Cristiano Ronaldo yang perlu bersama keluarganya selepas mereka meratapi pemergian bayi lelaki mereka.
Liverpool tidak menunggu lama. Mereka di hadapan seawal minit ke-5 menerusi Luis Diaz. Agak menarik kerana di Old Trafford sebelum ini, Liverpool juga mendahului pada minit ke-5 menerusi Naby Keita.
Diaz meneruskan prestasi cemerlangnya sejak menyertai Liverpool pada Januari lalu. Diaz malah hampir menambah gol pada minit ke-34, namun dia ofsaid.
Nothing but net for Luis Diaz 🥅 pic.twitter.com/jJLV1LBe3r
— GOAL (@goal) April 19, 2022
Pada minit ke-7, penyokong Liverpool dan Manchester United memberikan sorakan sokongan kepada Cristiano Ronaldo. Bukti bahawa bola sepak itu lebih daripada sekadar permainan.
Pada minit ke-10, Man United terpaksa mengeluarkan Paul Pogba yang cedera. Menambahkan lagi senarai kecederaan United. Ralf Rangnick memasukkan Jesse Lingard menggantikan Pogba.
Aksi dominan Liverpool sukar dikekang Man United. Dan pada minit ke-20, berpunca daripada permainan kombinasi yang sangat laju, Liverpool mendapat satu lagi gol.
Kali ini Mohamed Salah menyempurnakan hantaran Sadio Mane. Akhirnya penggempur antarabangsa Mesir itu menamatkan kemarau golnya. Dan tiada perlawanan lebih baik untuk melakukannya daripada aksi berdepan musuh tradisi.
The contrast between Salah and Maguire 😬 pic.twitter.com/cfjT7imYpQ
— GOAL (@goal) April 19, 2022
Separuh masa pertama berakhir dengan Liverpool menguasai perlawanan sekitar 75% dan masuk ke bilik persalinan dengan skor 2-0.
Ralf Rangnick terus membuat pertukaran awal yang ofensif pada separuh masa kedua. Di mana Rangnick memasukkan Jadon Sancho dan mengeluarkan Phil Jones.
Man United bermain lebih baik pada 20 minit pertama separuh masa kedua. Mereka mulai melancarkan serangan dan bermain lebih berani.
Namun malangnya, ketika United dalam fasa untuk bangkit, Sadio Mane membunuh perlawanan dengan gol ketiga Liverpool pada minit ke-68.
Ianya berpunca daripada serangan balas. Luis Diaz dengan cemerlang berjaya melorongkan bola sesedap rasa untuk terus dirembat masuk oleh Mane.
Liverpool berjaya mendapatkan semula tempo permainan mereka. Dan pada minit ke-80, Mohamed Salah melepasi perangkap ofsaid untuk menerima hantaran pemain gantian Diogo Jota.
Salah dengan tenang menewaskan David De Gea. Menjadikan beliau sebagai pemain pertama menjaringkan 5 gol ke atas United dalam 1 musim EPL.
5 – Mohamed Salah is the first player in Premier League history to score 5 goals against Manchester United in a single season. Alive. pic.twitter.com/UfHPTbxaal
— OptaJoe (@OptaJoe) April 19, 2022
Pada masa kecederaan, Aaron Wan Bissaka berjaya menafikan Mohamed Salah daripada mencetak satu lagi hatrik musim ini ke atas United. Tamat perlawanan Liverpool 4 Man United 0.
Liverpool berada di puncak liga sekurang kurangnya untuk 24 jam. Sementara itu Man United terus gagal untuk menyamakan mata dengan Spurs yang berada di tempat keempat.
United kini dengan 54 mata – berkongsi mata dengan Arsenal yang berada di tangga kelima. Namun Arsenal masih ada 2 perlawanan kurang berbanding United.
Spurs dengan 57 mata pula masih ada satu perlawanan kurang berbanding United.