Ketua jurulatih Bournemouth, Scott Parker menjadi ‘korban’ pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 apabila beliau dipecat selepas mengharungi empat perlawanan liga.
Bermula dengan baik apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa, Bournemouth kemudiannya terpaksa berdepan tiga kelab gergasi EPL yang menyaksikan mereka kalah kesemua perlawanan bertemu Manchester City (0-4), Arsenal (0-3) dan kemuncaknya dibelasah 0-9 ketika menentang Liverpool.
Satu keadaan yang nyata mengejutkan kerana ramai peminat bola sepakn dunia melihat Parker tidak diberikan lebih masa untuk membuktikan kemampuan beliau dalam mengemudi Bournemouth di pentas EPL.
EPL: Liverpool Bantai Bournemouth 9-0, Firmino Terlibat Dalam 5 Gol
Malah, dapat disaksikan di laman Facebook rasmi ‘The Cherries’, sebahagian besar penyokong Bournemouth kelihatan tidak berpuas hati dengan keputusan yang diambil pengurusan tertinggi itu.
Ramai yang mempertikaikan keputusan tersebut kerana beranggapan Bournemouth hanya tewas kepada pasukan ‘Big 6’ EPL dan berada di tangga ke-17, di depan Everton, Wolves dan Leicester City.
Perkembangan terkini mengenai pemecatan Parker itu disahkan oleh pemilik bersama Bournemouth, Maxime Demin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kelab tersebut.
“Saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada Scott dan pasukannya dalam atas usaha mereka sepanjang bersama kami.”
“Kenaikan kembali ke Liga Perdana yang dilakukan pada musim lepas dibawah kendaliannya akan sentiasa diingati sebagai salah satu musim berjaya dalam sejarah kami.”
“Bagaimanapun, untuk kami terus maju sebagai sebuah pasukan dan kelab secara menyeluruh, adalah tidak bersyarat bahawa kami sejajar dengan strategi kami untuk mengendalikan pasukan secara mampan.”
“Kami juga mesti menunjukkan kepercayaan dan menghormati antara satu sama lain. Itulah pendekatan yang membawa kelab ini begitu banyak kejayaan dalam sejarah baru-baru ini dan satu yang kami tidak akan lari dari matlamat itu sekarang.”
“Pencarian untuk ketua jurulatih baharu akan bermula serta-merta,” tambah Maxime lagi.
Scott Parker menyertai Bournemouth pada 29 Jun 2021 dan kehadirannya telah membawa kelab tersebut kembali ke EPL musim ini selepas menduduki tempat kedua saingan EFL Championship 2021/22.
Dengan ketiadaan Parker, Bournemouth pada ketika ini akan dibimbing sementara oleh Gary O’Neil sambil dibantu oleh Shaun Cooper dan Tommy Elphick.