Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 baharu sahaja memasuki minggu kedua tetapi kehangatannya jelas dirasai ketika aksi Chelsea yang menentang seteru dari London, Tottenham Hotspur di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Kelebihan dua kali mendahului gagal digunakan sepenuhnya tuan rumah yang menyaksikan Harry Kane memastikan mereka berpuas hati dengan satu mata hasil jaringan pada masa kecederaan.
Pergeseran antara pengendali, Thomas Tuchel dan Antonio Conte ketika aksi sedang berlangsung dan selepas tamat perlawanan juga turut menghangatkan lagi keadaan dengan kedua-dua pengurus itu akhirnya dilayangkan kad merah oleh pengadil, Anthony Taylor.
Chelsea membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas sepakan penjuru Marc Cucurella membolehkan Kalidou Koulibaly melakukan percubaan dalam kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.
Pemain tengah Tottenham, Pierre-Emile Hojbjerg kembali mengikat kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-68 apabila percubaan rendah dari luar kawasan penalti dilakukannya sudah cukup untuk melepasi jangkauan Edouard Mendy.
Dengan terhasilnya jaringan tersebut, bermulanya episod provokasi melibatkan Tuchel dan Conte sehingga mereka berdua menerima kad kuning pada minit ke-70.
Berselang tujuh minit kemudian, kem Chelsea ceria dengan gol kedua dihasilkan oleh Reece James selepas pemain bek kanan itu yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada Raheem Sterling.
Ketika masa tambahan yang diberikan sudah menghampiri penghujung, Kane menanduk masuk bola susulan hantaran sepakan penjuru daripada Ivan Perisic untuk Tottenham pulang dengan satu mata.
Drama melibatkan Tuchel dan Conte terus berlarutan selepas tamat permainan ketika mereka sedang bersalaman dan keadaan tersebut memaksa Taylor memberikan kad merah buat kedua-dua pengurus tersebut.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Ten Hag Kritik Prestasi Pemainnya: “Terlalu Banyak Kesilapan”
SUKMA 2022: Perak Giat Persiapan Misi Raih Kejuaraan Kali Keempat Berturut-Turut
Dicadangkan Ambil Ronaldo Pulang Ke Real Madrid, Perez Cuma Tergelak