Kelab-kelab dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali mendapat sokongan penuh para penyokong dalam menghadapi kempen 2021/22 apabila pihak kerajaan negara tersebut telah membenarkan kehadiran 100 peratus memasuki stadium.
Berita baik itu hadir selepas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan semua acara di negara itu telah kembali dibenarkan untuk menerima kapasiti penuh penonton bermula 19 Julai ini dan ia tidak terkecuali bagi saingan EPL.
Sebelum ini, aktiviti luar membenarkan 10,000 kapasiti penonton tetapi beberapa penilaian dilakukan terhadap kejohanan Tenis Wimbledon, Euro 2020 di Wembley serta perlawanan akhir Piala FA dimana kebenaran lebih ramai penonton sebagai langkah percubaan diambil pihak kerajaan Britain untuk kembali normal selepas wabak melanda.
“Kami akan memberikan kelonggaran dari segi penjarakan sosial yang memungkinkan orang ramai untuk membuat keputusan sendiri tentang bagaimana cara mereka untuk mengendalikan virus ini.”
“Kami akan menghapuskan semua batasan sosial bagi acara luar atau dalam dewan,” umum Johnson menurut laporan Eurosport.
“Kami akan membenarkan segala perniagaan kembali dibuka, termasuk kelab malam dan kami akan menaikkan had pengunjung ke rumah jagaan dan jumlah kehadiran ke konsert, teater dan acara sukan.”
Sehubungan dengan pengumuman tersebut, penganjur saingan EPL, Premier League turut mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan berita baik itu.
“Peminat sangat dirindui, jadi kami menyambut pengumuman hari ini oleh Kerajaan dan menantikan stadium kembali penuh pada musim 2021/22.”
”Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam bola sepak dan pihak berkuasa awam yang relevan untuk memastikan bahawa kembalinya penyokong dengan kapasiti penuh ini dilakukan dengan baik agar semua orang berada dalam keadaan selamat.”
Baca artikel lain mengenai persiapan pasukan EPL musim ini:
TERKINI: Selepas Sancho, United Semakin Hampir Dapatkan Varane
RASMI: Everton Lantik Benitez, Penyokong Kibar Banner Ugutan Di Kediamannya
Fabrizio Romano Sahkan Jadon Sancho Milik Manchester United, Kontrak Sehingga 2026