England berjaya menewaskan Colombia dalam perlawanan terakhir pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 awal pagi tadi dengan keputusan 4-3 pada penentuan sepakan penalti, apabila seri selepas tamat 120 minit permainan.

Dengan kemenangan itu, England mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2018 dan akan bertemu Sweden yang menang 1-0 keatas Switzerland hasil jaringan Emil Forsberg.

Layak ke pusingan suku akhir ini bukan satu ‘kebiasaan’ buat pasukan England yang rata-rata mempunyai peminat yang ramai di Malaysia. Ketika penyokong England meraikan kemaraan skuad bimbingan Gareth Southgate ini, Vocket FC telah mengumpulkan 7 rekod statistik mengenai pasukan England untuk semua.

Menang Penentuan Sepakan Penalti Buat Kali Pertama

Menurut rekod yang direkodkan oleh Opta, kemenangan England keatas Colombia dalam penentuan sepakan penalti itu adalah kemenangan pertama mereka menerusi penentuan sepakan penalti. (selepas tamat 120 minit permainan)

 

England Tidak Pernah Tewas Bertemu Colombia Dalam 5 Pertemuan

Dari 5 pertemuan dengan Colombia, England tidak pernah tewas dengan rekod 3 kali menang dan 2 kali seri.(Sebelum perlawanan peringkat kalah mati)

Kali terakhir mereka bertemu adalah pada Mei 2005, dimana England menang 3-2 hasil jaringan hatrik Micheal Owen

Dengan kemenangan awal pagi tadi menjadikan England tidak pernah tewas kepada Colombia dalam 6 pertemuan terakhir.

 

Jordan Henderson 28 Perlawanan Tanpa Kalah, Rekod Untuk England

Jordan Henderson tidak pernah mengakhiri mana-mana perlawanan dengan kekalahan dalam 28 penampilan terakhirnya bersama skuad England, dengan 22 kali menang dan 6 kali seri.

Ini adalah satu rekod ‘Longest Unbeaten Run‘ untuk mana-mana pemain England.

Beliau melakukan debut untuk England pada 17 November 2010 dalam perlawanan persahabatan bertemu Perancis.

 

Harry Kane Ulangi Rekod Tommy Lawton Berusia 79 Tahun

Penyerang utama Tottenham Hotspur, Harry Kane muncul sebagai pemain pertama dalam tempoh 79 tahun untuk menjaringkan gol dalam 6 perlawanan berturut-turut untuk England.

Kali terkahir rekod ini dilakukan adalah pada 1939 oleh Tommy Lawton yang pernah beraksi untuk Chelsea, Arsenal, Burnley dan Everton.

 

England Bolos Dalam Masa Kecederaan Separuh Masa Kedua Buat Kali Pertama

Sepanjang penyertaan England dalam mana-mana edisi Piala Dunia, gol jaringan Yerry Mina pada minit ke 90+3 merupakan gol pertama yang dilepaskan oleh skuad ‘Three Lions’ dalam masa kecederaan separuh masa kedua.

 

Jordan Pickford & David Seaman Lakukan Perkara Yang Sama Untuk England

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang dilakukan oleh Carlos Becca pada sepakan ke 5 untuk Colombia.

Aksi ini membolehkan Jordon Pickford melakukan perkara yang sama seperti yang pernah dilakukan oleh penjaga gol gol lagenda England, David Seaman pada 1998 ketika England bertemu Argentina.

Dalam pusingan kalah mati 1998 itu, David Seaman menyelamatkan sepakan penalti ke 2 yang diambil oleh Hernan Crespo, namun England tewas 4-3 ditangan Argentina.