Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru, Johor bermula 18 Mac 2023 ini.
Baca Juga:
- Skuad Harimau Malaya Jalani Latihan Guna Fasiliti JDT
- Harimau Malaya Jumpa Turkmenistan, Taiwan Atau Kuwait Di Stadium Sultan Ibrahim
- Hamidin Sahkan TMJ Tak Berminat Jadi Pengurus Harimau Malaya
Kem latihan itu adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Berdasarkan senarai tersebut, Pan Gon telah mengekalkan seramai 9 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Januari lalu.
Lebih menarik, kem latihan pusat kali ini turut disertai oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.
Antara pemain baharu tempatan dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, dan Feroz Baharudin.
Turut dipanggil ialah pemain kacukan Malaysia dari luar negara iaitu Nooa Laine. Laine sebelum ini pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan pada tahun lepas.
Sementara 13 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain tersebut:
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Turkmenistan pada Khamis, 23 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua pada Selasa, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, 10.00 malam.