Ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23), E. Elavarasan telah memanggil 25 pemain ke kem latihan pusat pertama bermula 27 November 2022 hingga 6 Disember 2022.

Baca Juga:

Ia adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi pertandingan-pertandingan antarabangsa untuk tahun 2023. Hanya seorang pemain dari kelab luar negara dipanggil kali ini iaitu Hadi Fayyadh yang beraksi dengan pasukan Azul Claro Numazu FC.

Malah, Elavarasan turut tidak memanggil pemain dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memberi peluang kepada muka baharu mempamerkan bakat mereka.

Skuad B-23 kebangsaan akan mengharungi beberapa pertandingan antarabangsa yang penting tahun hadapan seperti Kejuaraan AFF B-23 2023, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Sementara itu, lapan pemain berikut pula berada dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat sebarang perubahan pada senarai 25 pemain di atas.

Kem latihan pusat pertama Harimau Malaya B-23 bermula Ahad ini adalah kem latihan pertama buat Elavarasan sejak dilantik sebagai Ketua Jurulatih pada 1 September yang lalu.

Beliau akan dibantu oleh Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai penolong ketua jurulatih; Kris Yong sebagai jurulatih penjaga gol, Jihyeon Park dari Republik Korea sebagai jurulatih kecergasan dan Lee Jeyoon juga dari Republik Korea sebagai jurulatih analisis prestasi.

Bekas jurulatih Sarawak United itu turut ditugaskan untuk mencari bakat muda yang baharu untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.

“Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya diberikan tanggungjawab untuk menggalas jawatan ini.

“Sudah tentu ia akan menjadi tugas yang berbeza buat saya memandangkan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Saya bukan sahaja perlu mengemudi skuad ini, malah saya juga dipertanggungjawabkan untuk mencari bakat-bakat baharu untuk diserapkan ke pasukan senior. Apapun saya cuba memberikan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.

Beliau juga turut mempunyai perancangan untuk membentuk skuad yang mantap dan akan memantau saingan Liga Simpanan mencari beberapa pemain muda berpotensi.

Liga Simpanan diwujudkan mulai musim depan untuk memberi peluang kepada pemain muda bawah 23 tahun mempamerkan bakat mereka dalam saingan kompetitif.