Polis Indonesia jelas mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku di Stadion Kanjuruhan pada awal bulan lalu apabila berjanji tiada lagi penggunaan gas pemedih mata bagi menangani kekacauan dalam mana-mana perlawanan selepas ini.
Baca Juga:
- Polis Indonesia Sujud Mohon Maaf Atas Tragedi Kanjuruhan
- Tragedi Kanjuruhan: Abel Camara “Saya Melihat Penyokong Meninggal Dunia Di Depan Mata”
- 11 Tragedi Nahas Stadium Yang Ngeri Dalam Bola Sepak
Langkah yang diambil pihak Kepolisian Negara Republik Indonesia (POLRI) dengan menggunakan semburan gas pemedih mata nyata telah memburukkan lagi keadaan rusuhan penyokong pada aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, 1 Oktober lalu.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa semburan itu membuatkan keadaan para penyokong menjadi lebih kelam-kabut sehingga menyebabkan ratusan nyawa terkorban.
Tindakan itu jelas mendapat tentangan para penyokong tempatan kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga telah melarang penggunaan gas pemedih mata dalam mana-mana perlawanan liga domestik dan peringkat antarabangsa seperti yang termaktub dalam peraturan FIFA Stadium Safety and Security Regulations.
Bagaimanapun, jaminan untuk tidak lagi menggunakan semburan pemedih mata dalam mana-mana perlawanan telah dibuat oleh Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat (Humas) POLRI, Irjen Dedi Prasetyo menurut sumber laporan Goal Indonesia.
“Pada masa hadapan, untuk mengawal keadaan pertandingan, kami akan memberikan keutamaan kepada ‘Steward’.”
“Untuk penggunaan gas pemedih mata, peralatan-peralatan kawalan orang ramai dan peralatan-peralatan yang dapat memprovokasikan orang ramai di stadium. Jadi, itu tidak akan digunakan kembali [sebagai kaedah mengawal keadaan di stadium].”
“Lembaga POLRI sudah membuat satu peraturan bagaimanapun keselamatan dan keamanan menjadi hal yang paling penting dalam mengawal keadaan di stadium.”
“Bermula daripada pertandingan peringkat desa pun kami sudah mengatur [peraturan]. Kemudian peringkat mukim, daerah sampai ke peringkat kebangsaan, Malah, sampai ke peringkat antarabangsa, semua kaedah pengawalannya adalah sama,” ujar Irjen Dedi lagi.