Baru-baru ini, nama bintang tengah Thailand, Thitiphan Puangchan tiba-tiba menjadi sebutan apabila dikaitkan dengan kelab Liga Super Malaysia bagi saingan musim 2023.

Baca Juga:

Ini selepas satu status daripada wartawan bola sepak Thailand menulis bahawa pemain itu sedia untuk beraksi di Liga Super Malaysia.

Berita itu agak mengejutkan oleh ramai pihak yang berteka teki mencari pasukan mana yang sedang berunding dengan pemain Bangkok United itu.

Bagaimanapun, sumber dari Sukanz mengesahkan tiada tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Super untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 29 tahun itu.

Menurut ejen pemain tersebut iaitu FPS Management & Consulting, Thitiphan mempunyai kontrak jangka masa panjang bersama kelabnya, Bangkok United sehingga Mei 2025.

Beliau baru sahaja menyertai kelab berjulukan The Angels itu secara tetap bermula tahun 2022 lalu.

Jadi, jika ada mana-mana pasukan Liga Super yang berhasrat untuk mendapatkan khidmat pemain itu, perlu menebus kontrak dengan Bangkok United dengan jumlah bayaran yang agak tinggi.

Ketika ini, penyerang antarabangsa Thailand, Adisak Kraisorn sudah sah menandatangani kontrak dengan pasukan Terengganu FC.

Dalam sejarah Liga Malaysia, sejak era semipro lagi sudah ramai nama nama pemain dari Thailand yang beraksi di sini. Ini termasuk legenda mereka, Kiatisuk Senamuang yang pernah beraksi dengan pasukan Perlis.

Thitiphan Puangchan merupakan pemain antarabangsa Thailand. Dia diletakkan nilai sekitar RM1.65 juta oleh Transfer Market.

Beliau boleh bermain di posisi tengah dan dikenali dengan gaya permainan yang rajin membantu pertahanan dan serangan.

Di dalam kariernya dia sudah memenangi 2 kejuaraan Liga 1 Thailand – bersama Muangthong dan Pathum United. Titiphan turut memiliki 1 Piala FA Thailand ketika beraksi dengan Chiangrai United.

Di peringkat antarabangsa, dia sudah membantu Thialand memenangi Piala AFF 2020. Kemudian di peringkat belia dan remaja, namanya bukan asing lagi.

Thitiphan menjadi antara pemain yang membantu Thailand memenangi Piala AFF B-19 pada 2011 serta 2 pingat emas Sukan SEA pada 2013 dan 2015.