Ejen kepada jurulatih dari Korea Selatan, Choi Min-sik iaitu Myeongho Jeong membuat lebih banyak pendedahan mengenai apa yang berlaku ketika jurulatih itu menjadi pengendali pasukan TRW Kelantan.

Baca Juga:

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Jeong mendedahkan pihaknya sedang menyediakan dokumen untuk dihantar ke FIFA sambil menegaskan apa yang berlaku memberi kesan mendalam terhadap beliau dan Min-sik.

Selain itu, Jeong turut menegaskan pasukan Kelantan masih tidak memberitahu perkara sebenar dan beliau menganggap pasukan itu menipu terhadap peminat.

Choi Min-sik
Sumber Gambar: Myeongho Jeong

“Majikan selalu memaki pemain, bergaduh dengan jurulatih dan pemain di bilik persalinan. Tiada siapa tahu perkara sebenar tetapi pemain menjadi saksi. Kalau kamu tanya mereka dan Min-sik, mereka akan beritahu perkara sama.

“Setiap minggu, majikan dan pengarahnya akan terlibat dalam sesi pemilihan pemain untuk setiap perlawanan. Minggu lalu, jurulatih saya tidak memilih pemain pun. Para pemain enggan berlatih kerana sudah dua bulan tidak dibayar gaji. Majikan mengugut pemain agar berlatih. Tetapi gaji tidak dibayar.

“Semua orang tak boleh bercakap apa-apa tetapi saya ejen yang sanggup berkorban demi pemain dan jurulatih. Min-sik ialah jurulatih legenda di Korea. Bos selalu mencampak topi dan membaling air dan selalu memberitahu Min-sik agar pulang ke Korea kalau Kelantan kalah,” katanya.

Choi Min-sik
Choi Min-sik

Dalam masa yang sama, Jeong mahu TRW Kelantan agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Choi Min-sik setelah apa yang dilakukan terhadap jurulatih itu.

“Saya orang Korea yang mahu membantu bola sepak Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan dan akan terus membuat pendedahan mengenai pasukan ini.

“Satu perkara yang saya mahu katakan. Ini pesanan untuk bos Kelantan. Apa yang kamu katakan tidak selalu betul. Sebelum perkara serius berlaku ke atas pasukan kamu, lebih baik kamu minta maaf kepada jurulatih saya,” tambah Jeong.

Baru-baru ini, TRW Kelantan dibelasah oleh Terengganu dalam aksi Liga Super dimana skuad yang dikendalikan oleh Rezal Zambery Yahya tewas dengan keputusan 5-0.