Pemain import Kedah dari Kyrgyzstan, Edgar Bernhardt, mengakui perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 Sabtu ini berdepan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan menjadi pengalaman baharu dirinya merasai suasana beraksi di hadapan kira-kira 85 ribu penonton.
Menurut ketua pasukan kebangsaan Kyrgyzstan ini yang pernah beraksi di beberapa liga eropah seperti di Jerman, Poland dan Finland, dia teruja dengan jumlah bilangan penyokong yang akan hadir sambil berharap mampu berikan yang terbaik buat Kedah menjulang kejuaraan Shopee Piala FA.
“Dulu ketika beraksi di beberapa liga di Eropah, pernah ada beberapa perlawanan saya beraksi di hadapan penyokong yang begitu hampir dengan jumlah 80 ribu penyokong.
“Namun, ini kali pertama dalam karier, saya akan beraksi di hadapan 85,000 penonton, saya harap dapat gunakan peluang ini untuk bermain sebaik mungkin untuk pasukan Kedah.
“Sudah tentu saya mahu hadiahkan kejuaraan kepada Kedah cuma saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai aksi final nanti malah saya tidak letak sebarang sasaran peribadi sama ada mahu jaringkan gol atau berikan bantuan gol.
“Tidak kira apa yang terjadi di perlawanan akhir itu nanti, saya hanya mahu trofi Shopee Piala FA sahaja menjadi milik Kedah, ” katanya.
Bernhardt yang berusia 33 tahun bermain untuk pasukan negaranya baru-baru ini di pentas Piala Asia 2019 sehingga mara ke pusingan 16 pasukan terbaik sebelum tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam pada itu, Bernhardt mengakui potensi yang ada pada Liga Malaysia selepas merasai pengalaman bermain dalam beberapa perlawanan bersama Kedah dan yakin lebih ramai pemain dari negaranya berminat datang ke sini.
“Liga ini ada potensi tersendiri dan begitu fizikal yang tidak terlalu jauh jika hendak dibandingkan di Eropah. Pemain tempatan di sini punyai teknik yang baik dan bijak dalam lakukan keputusan di atas padang.
“Cuma pemahaman daripada segi taktikal masih lagi dalam fasa perkembangan namun situasi itu normal kerana kami di Kyrgystan juga sedang lalui fasa yang sama.
“Kebanyakan pemain dari Kyrgyzstan boleh bermain di sini cuma mungkin ramai lebih mengenali Uzbekistan yang berdekatan dengan kami memandangkan taraf liga mereka lebih tinggi.
“Namun, kami ada pemain berpotensi dan mahu bermain di luar, saya gembira jika ada ramai lagi pemain dari Kyrgystan datang ke sini malah kami mempunyai ramai pertahanan yang berkualiti, ” katanya.